KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri bagi menerajui pembangunan bakat sukan berprestasi tinggi dilihat sebagai satu suntikan pemulihan semula kepada arena sukan negara.
Pandangan itu dilontarkan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan UiTM, Mohd Sadek Mustafa yang menyifatkannya sebagai satu langkah positif bagi memperbetulkan keadaan sukan di peringkat pembangunan selain membuktikan kerajaan serius untuk meletakkan sukan berada di peringkat tertinggi yang sama pentingnya dengan bidang lain seperti pendidikan, ekonomi dan sebagainya.
"Ia bukan seperti sinar baharu. Ia lebih kepada suntikan pemulihan. Sinar itu kita sudah lama ada, tapi ia satu suntikan untuk memulihkan (sukan). Ini satu proses pemulihan semula. Bila kita dilanda bencana alam, ini proses semula kepada perkara asas," kata Sadek ketika dihubungi.
Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penubuhan HLC dengan objektif utama memastikan negara tidak ketinggalan dan seiring dengan negara mempunyai pembangunan sukan maju khususnya dalam sukan yang banyak menawarkan pingat iaitu tempur, renang dan olahraga.
HLC katanya, akan memberi tumpuan kepada model pembangunan bakat bagi sukan tempur, olahraga dan renang dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM).
Dalam masa sama, HLC akan melihat kepada mencungkil bakat dalam kalangan anggota tentera dan penguat kuasa melalui Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Mengulas lanjut, Sadek berkata, impak HLC mungkin boleh dilihat paling tidak dalam dua atau tiga kitaran Olimpik dan berharap langkah ini tidak akan terhenti sekiranya berlaku perubahan landskap politik di masa akan datang.
"Untuk mendapatkannya (hasil), kita kena ada ramai atlet yang mewakili negara secara merit di Sukan Olimpik... bukannya bergantung kepada terjun atau badminton saja. Maksudnya dalam sukan renang, olahraga dan tempur itu, kita berada dalam kelompok enam secara merit.
"Apabila berada dalam kelompok enam terbaik, peratusan untuk menang pingat di Olimpik itu tinggi. Dari sudut matematiknya tinggi dan mereka diletakkan sebagai pilihan, kalau pergi secara 'wild card', bukanlah pilihan.
"Jadi kita tak nak begitu, apabila di kitaran ketiga di Brisbane 2032, menjadi tanda aras kejayaan program. Berjaya bukan janjikan pingat emas tetapi atlet Malaysia layak ke Olimpik atas tiket merit dan menjadi pilihan dalam acara masing-masing," kata Sadek.