Selasa, 30 Mei 2023 | 2:49pm
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan di Bangunan Perdana Putra hari ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan di Bangunan Perdana Putra hari ini.

Kerajaan tubuh HLC bagi reformasi sukan tempur, olahraga, renang

PUTRAJAYA: Bagi memastikan bidang sukan negara tidak terus ketinggalan, kerajaan mengambil inisiatif mewujudkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) yang akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi menerajui pembangunan bakat sukan berprestasi tinggi.

Ahmad Zahid berkata, HLC ini akan memberi tumpuan kepada model pembangunan bakat bagi sukan yang banyak menawarkan pingat iaitu sukan tempur, olahraga dan renang dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM).

Katanya, pada masa sama, HLC ini akan melihat kepada mencungkil bakat dalam kalangan anggota tentera dan penguat kuasa Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Kami baharu saja selesai mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Sukan (JKPS), kali terakhir (mesyuarat) diadakan ialah pada 2014. Jadi, banyak perkara diputuskan berkait dengan beberapa perkembangan terkini yang disesuaikan dengan kehendak semasa dalam bidang sukan.

"Mesyuarat ini berperanan untuk menyelaras dan memperkemas sistem penyampaian inisiatif dan program pembangunan sukan. Ia termasuklah memperkukuhkan kerjasama pelbagai sektor bagi mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan (sporting nation).

"Bagi memastikan negara tidak ketinggalan dan seiring dengan negara-negara yang mempunyai pembangunan sukan yang maju, satu jawatankuasa peringkat tertinggi (HLC) diwujudkan," kata Ahmad Zahid pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat JKPS, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan timbalannya, Adam Adli Abd Halim.

Ahmad Zahid berkata, mesyuarat juga bersetuju mempelawa Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bagi membiayai program sukan.

"Hal ini adalah bagi memangkinkan pembangunan sukan melalui pembabitan pelbagai pemegang taruh terutamanya pihak GLC," katanya.

Sementara itu, Hannah berkata, HLC diwujudkan selepas melihat keputusan yang diraih kontinjen negara di Sukan SEA Kemboja 2023 - menyaksikan sukan tempur antara menjadi penyumbang pingat emas terbanyak manakala Malaysia banyak terlepas pingat dalam sukan olahraga dan renang.

"Strategi kita kena bertukar, itu sebab Timbalan Perdana Menteri bersetuju untuk pengerusikan HLC antara tiga kementerian iaitu KBS, KPM dan KPT. Ini juga bagi memastikan ada penyelarasan untuk cungkil bakat dan kita tidak terlepas bakat-bakat muda dan kita akan fokus kepada tiga sukan ini.

"Dengan adanya pembabitan Timbalan Perdana Menteri, proses reformasi ini akan berjalan dengan baik dan pelan pembangunan bakat baharu terutamanya dalam sukan yang menyumbang banyak pingat (olahraga, renang) akan ada perubahan berlaku," kata Hannah yang turut menyatakan HLC akan bersidang buat kali pertama pada 7 Jun ini.

Berita Harian X