Ahad, 28 Mei 2023 | 9:12am
Jojo menerima provokasi lawan dari Thailand pada aksi One Championship, Jumaat lalu. Foto: One Championship
Jojo menerima provokasi lawan dari Thailand pada aksi One Championship, Jumaat lalu. Foto: One Championship

Jojo tahan provokasi sebelum raih kemenangan

KUALA LUMPUR: Atlet Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar menerima provokasi 'melampau' ketika berdepan lawan dari Thailand dalam siri One Championship, Jumaat lalu.

Begitupun, atlet muda dari Sarawak berusia 16 tahun berkenaan berjaya mengenepikan 'asakan mental' itu sebelum menumbangkan lawan dengan pukulan 'knockout' (KO) di Stadium Tinju Lumpinee, Bangkok, Thailand.

Johan yang dikenali sebagai Jojo dan mewakili Kelab Muay Thai Rentap dilihat kekal tenang terhadap provokasi dilakukan lawan yang menjelirkan lidah berkali-kali kepadanya sebelum membalas dengan tumbukan untuk memperoleh kemenangan dengan pukulan KO.

"Jujurnya, saya lebih sukan pertarungan sebegini," kata Jojo. "Saya tak suka 16 saat (pertarungan sebelum ini)... saya mahu saingan yang hebat daripada lawan.

"Saya kuat kerana ada sokongan daripada ibu di stadium, bapa saya yang menonton di rumah selain rakan-rakan yang datang dari Malaysia, jadi tak adil kalau saya tidak berikan 100 peratus dalam pertarungan ini.

"Sasaran saya seterusnya untuk mendapatkan kontrak, saya rasa tali pinggang One Championship ini ditakdirkan buat saya. Saya adalah masa depan," katanya dalam satu rakaman.

Johan yang dikenali sebagai Jojo dan mewakili Kelab Muay Thai Rentap. - Foto FB Johan Ghazali
Johan yang dikenali sebagai Jojo dan mewakili Kelab Muay Thai Rentap. - Foto FB Johan Ghazali

Sebelum itu, Jojo yang membuat penampilan sulungnya pada Februari lalu di stadium sama selepas mengambil masa hanya 16 saat untuk menumbangkan lawan dengan pukulan KO.

Jojo menewaskan Padetsuk Fairtex yang berusia 18 tahun dalam kategori flyweight One Championship.

Untuk rekod, pada tahun lalu, Jojo menjuarai Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia IFMA 2022 yang berlangsung di laman sendiri selepas menumbangkan peserta Russia, Rustam Yunusob dalam kategori 14 hingga 15 tahun (bawah 60 kilogram) dengan kiraan mata 20-18.

Berita Harian X