Sabtu, 20 Mei 2023 | 1:04pm
Mohd Futra (kiri) berbual bersama murid Sekolah Kebangsaan Duyong pada program motivasi baru-baru ini. Foto Malik Muhamad
Mohd Futra (kiri) berbual bersama murid Sekolah Kebangsaan Duyong pada program motivasi baru-baru ini. Foto Malik Muhamad

'Tepat pada masanya' - Mohd Futra

KUALA TERENGGANU: Bekas perejam emas skuad sepak takraw negara, Mohd Futra Abdul Ghani menyambut baik cadangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mempertimbangkan sukan sepak takraw kembali menjadi sukan teras.

Jelas pemenang pingat emas Sukan SEA di Filipina 2005 itu, cadangan berkenaan dilihat tepat pada masanya lebih-lebih lagi sukan tradisi negara itu kian meningkat di persada antarabangsa terutama pada pentas Sukan SEA edisi ke-32 di Kemboja baru-baru ini.

Tambah pensyarah akademik Jabatan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan Institut Pendidikan Guru Kampus Datuk Razali Ismail, Kuala Nerus itu, sekiranya sukan itu terus diangkat, beliau percaya perkembangannya semakin meningkat lebih-lebih sukan itu diminati pelbagai peringkat umur selain menunjukkan KBS menghargai peranan dan kerja buat penggiat sukan ini serta mengangkat martabat pemain.

"Sebagai bekas atlet negara, saya menyambut baik perkembangan ini. Prestasi cemerlang yang dicapai oleh pasukan sepak takraw kebangsaan kita di Sukan SEA di Kemboja adalah bukti yang jelas mengenai potensi dan kebolehan sukan ini.

"Memenangi empat pingat perak dan empat pingat gangsa serta menunjukkan prestasi perlawanan semakin meningkat walaupun baharu diambil alih oleh pengurusan dan kejurulatihan yang baharu.

"Jadi keputusan KBS untuk mempertimbangkan semula sepak takraw sebagai sukan teras negara adalah langkah yang tepat. Ini menunjukkan penghargaan terhadap prestasi yang diperoleh dan pentingnya sukan ini dalam membawa kejayaan kepada negara kita.

"Prestasi gemilang ini membuktikan bahawa sepak takraw mempunyai potensi untuk memberikan pingat kepada negara dan mempunyai populariti yang tinggi dalam kalangan rakyat di samping kejayaan penganjuran Liga Sepak Takraw (STL) yang menarik minat semua lapisan masyarakat serta inspirasi dalam mencari bakat-bakat baharu dalam sukan sepak takraw.

"Pengiktirafan yang diberikan oleh KBS ini juga akan memberikan motivasi dan semangat kepada para atlet dan penggiat sepak takraw di negara ini. Penelitian yang dilakukan oleh KBS terhadap kemudahan dan sokongan yang diberikan oleh pihak kerajaan merupakan tindakan yang perlu dilakukan.

"Saya juga menyokong idea untuk mengadakan lebih banyak sesi taklimat umum bersama penggiat sukan sepak takraw. Ini adalah langkah yang baik untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada mereka yang terlibat secara langsung dalam sukan ini.

"Dengan berkomunikasi secara terbuka, KBS dapat memahami keperluan dan cabaran yang dihadapi oleh para atlet dan mengambil tindakan yang sesuai untuk meningkatkan pembangunan sepak takraw di negara ini, saya harap perbincangan itu akan menghasilkan keputusan yang positif dan terus cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," katanya.

Berita Harian X