Selasa, 16 Mei 2023 | 10:00pm
Sukan badminton antara yang gagal menyumbang pingat emas kepada negara dalam Sukan SEA 2023 Kemboja. - NSTP/Fathil Asri
Sukan badminton antara yang gagal menyumbang pingat emas kepada negara dalam Sukan SEA 2023 Kemboja. - NSTP/Fathil Asri

Kemboja 2023: Prestasi terburuk Malaysia di Sukan SEA

PHNOM PENH: Kontinjen Malaysia sekali lagi berdepan detik hitam di pentas Sukan SEA apabila gagal mencapai sasaran 40 pingat emas yang ditetapkan sebelum ini.

Berakhirnya semua acara temasya di Kemboja, hari ini, pencapaian di pentas Sukan SEA bagi edisi ke-32 itu dianggap sebagai pencapaian terburuk selepas apa yang diraih kontinjen negara ketika temasya sama di Vietnam tahun lalu.

Sebelum ini, pemerhati sukan tempatan Datuk Dr Pekan Ramli menyifatkan pencapaian Malaysia di Hanoi sebagai yang terburuk sejak temasya itu diperkenalkan pada 1959.

Ia susulan kontinjen negara mengakhiri cabaran pada kedudukan keenam keseluruhan dengan membawa pulang 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa di Hanoi.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan UiTM Shah Alam, Datuk Dr Pekan Ramli. - Foto NSTP
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan UiTM Shah Alam, Datuk Dr Pekan Ramli. - Foto NSTP

Malah, beliau juga sebelum ini turut berkata bahawa Sukan SEA Kemboja bakal menjadi pencapaian terburuk dan menjadi detik hitam buat kontinjen Malaysia sekiranya gagal mencapai sasaran yang ditetapkan.

Ia berdasarkan kontinjen besar yang dihantar Malaysia pada temasya kali ini yang terdiri daripada 676 atlet walaupun sebahagian besarnya adalah atlet muda.

Berdasarkan jumlah kutipan pingat dalam tempoh 20 tahun terakhir penganjuran Sukan SEA iaitu sejak 2003 di Hanoi, kali ini juga menyaksikan kilauan emas paling sedikit diraih Malaysia.

Pasukan hoki lelaki dan wanita negara bergambar selepas penyampaian pingat emas pada perlawanan akhir Sukan SEA Kemboja, hari ini. - NSTP/Fathil Asri
Pasukan hoki lelaki dan wanita negara bergambar selepas penyampaian pingat emas pada perlawanan akhir Sukan SEA Kemboja, hari ini. - NSTP/Fathil Asri

Kontinjen negara mengumpul 34 pingat emas dengan skuad hoki padang lelaki dan wanita, atlet sukan tarian Sam Jee Lek dan atlet kick boxing, Nor Iman Hakim Rakib menyumbang emas terbaharu, hari ini.

Selain gagal mencapai sasaran pingat, kedudukan keseluruhan Malaysia dalam senarai pungutan pingat juga dilihat lebih teruk berbanding edisi lalu.

Malaysia buat kali pertama jatuh ke tangga ketujuh berbanding kedudukan keenam yang diraih ketika di Hanoi dan perkara itu berlaku disebabkan tuan rumah Kemboja berada dalam kelompok atas.

Lebih mengecewakan apabila Malaysia sekali lagi berada di bawah Singapura yang meraih 51 emas dengan sebahagian besar pingat mereka hadir menerusi sukan renang.

Atlet terjun lelaki negara, Muhammad Syafiq Puteh memenangi pingat emas 3m papan anjal pada kejohanan Sukan SEA 2023. - NSTP/Fathil Asri
Atlet terjun lelaki negara, Muhammad Syafiq Puteh memenangi pingat emas 3m papan anjal pada kejohanan Sukan SEA 2023. - NSTP/Fathil Asri

Hanya menerusi dua acara sukan iaitu renang dan lawan pedang menjadi faktor mudah untuk Singapura berada di atas Malaysia.

Acara renang sahaja telah menyumbang 22 pingat emas kepada Singapura diikuti 6 pingat emas dari acara lawan pedang.

Pencapaian buruk yang diraih kontinjen negara itu dianggap berpunca daripada beberapa sukan yang Malaysia kuasai atau harapkan gagal menyerlah untuk menyumbang pingat emas.

Antaranya termasuk hoki dalam dewan, kriket, badminton, sepak takraw, renang dan olahraga dengan beberapa acara yang dimenangi Malaysia dalam edisi sebelum ini tidak berjaya dipertahankan.

Pemain hoki dalam dewan wanita Malaysia, Nur Mohamad (tengah) diasak pemain Thailand pada perlawanan akhir yang menyaksikan Malaysia tewas dengan pukulan penalti 2-1 setelah seri 0-0 pada perlawanan akhir. - NSTP/Fathil Asri

Berita Harian X