KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) mendedahkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan apabila membawa pulang lima pingat emas.
Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin, berkata KOM menetapkan sasaran akhir berkenaan berdasarkan prestasi semasa atlet selain mengambil kira kekuatan pencabar dari negara-negara Asia Tenggara yang lain.
"Sasaran akhir memang lima emas, jadi tidak timbul isu sukan olahraga tidak mencapai sasaran yang ditetapkan," katanya.
Bagaimanapun, Jefri mengakui skuad olahraga berpeluang untuk membawa pulang lapan emas dari Kemboja sekiranya beberapa isu berbangkit khususnya membabitkan atlet dapat diselesaikan lebih awal sebelum temasya bermula.
"Kalau isu membabitkan Nur Sarah Adi (lompat bergalah wanita) berhubung ketiadaan jurulatih dapat diselesaikan awal, saya percaya dia boleh raih emas berbanding perak yang dimenanginya pada temasya kali ini.
"Begitu juga dengan atlet heptathlon, Norliyana Kamaruddin. Kalau dia ditetapkan lebih awal untuk memberi fokus kepada acara lompat tinggi, dia berpotensi untuk memenangi emas kerana dia mencatatkan 1.80 meter bagi lompat tinggi dalam acara heptathlon pada Sukan SEA Hanoi, tahun lalu.
"Catatan itu adalah lebih baik berbanding pemenang emas lompat tinggi di Hanoi dengan 1.78m. Pada temasya di Kemboja juga atlet Thailand (Thanlada Thongchomphunut) menang emas dengan catatan 1.79m. Jadi, dia ada peluang yang tinggi namun apabila sudah sampai sini pun dia masih didaftarkan untuk acara heptathlon.
"Kita juga terlepas satu emas menerusi Jackie Wong dalam acara baling tukul besi lelaki disebabkan isu teknikal yang timbul ketika pertandingan. Jika ketiga-tiga atlet yang saya sebutkan tadi menang emas, sudah tentu kita boleh raih lapan emas keseluruhan menerusi olahraga," katanya.
Jefri turut memuji atlet muda yang diketengahkan KOM pada temasya kali ini apabila ada antara mereka yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan seperti atlet 400m lelaki, Umar Osman yang turut memenangi emas selain kuartet 4x100m wanita yang membawa pulang gangsa.
Katanya, atlet muda olahraga negara mempunyai potensi besar untuk menyumbang kejayaan yang lebih baik buat kontinjen Malaysia pada temasya seterusnya di Bangkok, Thailand dua tahun lagi.
Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim sebelum ini mengakui kesilapannya mengumumkan sasaran untuk membawa pulang 10 emas dari Sukan SEA Kemboja 2023.
Katanya, pengumuman terbabit dilakukan selepas memenangi kerusi utama KOM tanpa melakukan perbincangan terlebih dahulu bersama barisan kejurulatihan dan pihak berkepentingan hingga menimbulkan 'kekecohan' sebaik acara olahraga menutup tirai di temasya dwitahunan itu.