PHNOM PENH: Atlet taekwondo negara, Muhammad Syafiq Zuber mendedikasikan pingat emas dimenangi kepada ibunya sebagai hadiah Hari Ibu yang disambut, semalam selepas mempertahankan kejuaraan dalam acara kyorugi lelaki bawah 80 kilogram (kg) di Sukan SEA Kemboja 2023, hari ini.
Syafiq melengkapkan kebangkitan sensasinya bagi mengatasi lawan dari Indonesia, Osanando Naufal Khairudinin 2-1 (7-10, 10-0, 4-2) pada aksi final di Pusat Konvensyen Chroy Changvar sekali gus menyumbangkan emas ke-30 kontinjen negara pada temasya kali ini.
Syafiq yang turut memenangi emas pada edisi di Hanoi, Vietnam tahun lalu, berkata pingat itu adalah hadiah buat ibunya, Salma Shafie dan turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakan sepasukan, jurulatih, Syed Taufiq Syed Abdul Hamid selain Institut Sukan Negara (ISN).
"Ia adalah hadiah Hari Ibu untuk ibu saya. Dia minta emas daripada saya, pada awalnya saya tidak menjanjikan apa-apa tetapi saya gembira dapat menunaikan permintaanya itu.
"Saya tidak pernah bertemu dengan lawan di peringkat separuh akhir dan final sebelum ini tetapi saya beritahu kepada diri sendiri saya boleh melakukannya. Saya masih tidak percaya saya berjaya memenanginya.
"Sudah tentu tekanan adalah tinggi tetapi saya gembira dapat memenangi emas sekali lagi. Bukan mudah untuk mempertahankannya, saya berjaya mengikut segala arahan jurulatih dalam pertarungan itu," kata Syafiq.
Syafiq, berkata kem latihan selama dua bulan di Korea Selatan dan pengorbanan yang dilakukan apabila tidak dapat menyambut Aidilfitri buat kali kedua adalah sangat berbaloi.
"Saya berlatih di Korea selama dua bulan, berpuasa dan menyambut raya di sana, ia adalah kali kedua saya terpaksa melakukannya. Saya juga melalui situasi sama tahun lalu sebagai persiapan ke Sukan SEA Hanoi," katanya.