Isnin, 15 Mei 2023 | 4:55pm
Lima atlet yang memenangi emas di Sukan SEA Kemboja 2023. Dari kiri, Irfan Shamsuddin, Andre Anura, Umar Osman, Grace Wong dan Shereen Samson. - Foto NSTP
Lima atlet yang memenangi emas di Sukan SEA Kemboja 2023. Dari kiri, Irfan Shamsuddin, Andre Anura, Umar Osman, Grace Wong dan Shereen Samson. - Foto NSTP

'Usah malukan diri, persatuan'

KUALA LUMPUR: Pemimpin sukan perlu lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam mengumumkan sasaran yang diletakkan bagi persatuan masing-masing dalam mana-mana temasya antarabangsa.

Tindakan itu bagi mengelak ia memalukan diri sekali gus menjejaskan nama baik persatuan yang diwakili.

Itu pandangan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa yang mengulas mengenai tindakan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Seri Shahidan Kassim yang meminta maaf selepas mengakui kesilapannya meletakkan sasaran 10 emas skuad olahraga negara ke Sukan SEA Kemboja 2023.

Sadek berpendapat sasaran 'melangit' oleh Shahidan itu mungkin berpunca daripada keghairahan selepas berjaya memenangi jawatan Presiden KOM pada pemilihan Jun tahun lalu.

Mohd Sadek Mustaffa
Mohd Sadek Mustaffa

"Jadi, semua presiden ataupun pemimpin sukan diharap jangan suka-suka keluarkan kenyataan yang bersifat populis tanpa mendapat maklum balas realiti sebenar prestasi semasa atlet dan juga akan datang.

"Saya kira sasaran ini juga sebelum ini dibidas oleh atlet veteran. Jangan jadi ibarat tikus membaiki labu kerana ini membabitkan imej persatuan dan motivasi atlet.

"Untuk ke hadapannya, pemimpin sukan harus bersikap dinamik dan bijaksana. Kalau mahu buat ramalan, buat ramalan yang berasas seperti Nujum Pak Belalang dan jangan mengikut bomoh dalam cerita Nasib Do Re Mi," kata Sadek.

Terdahulu, Shahidan mengakui kesilapannya meletakkan sasaran untuk membawa pulang 10 pingat emas dari Sukan SEA Kemboja 2023.

Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menjadi calon tunggal bagi jawatan Presiden Persekutuan Renang Malaysia. - BERNAMA
Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menjadi calon tunggal bagi jawatan Presiden Persekutuan Renang Malaysia. - BERNAMA

Shahidan berkata, pengumuman terbabit dilakukan selepas memenangi kerusi utama KOM pada pada pemilihan Presiden KOM 2022-2025 pada Jun tahun lalu tanpa melakukan perbincangan terlebih dahulu bersama barisan kejurulatihan dan pihak berkepentingan.

Skuad olahraga negara yang menjadi antara skuad terbesar dengan membariskan 65 atlet hanya memenangi lima pingat emas, tiga perak dan 11 pingat gangsa.

Mengikut rekod, kem olahraga mengakhiri saingan di Kemboja dengan lima emas, tiga perak manakala 12 gangsa dengan dua rekod kebangsaan berjaya dicipta menerusi acara 400 meter (m) individu lelaki Omar Osman dan kuartet 4x100m wanita.

Pencapaian itu hampir sama di temasya dwitahunan di Hanoi, Vietnam, tahun lalu menyaksikan atlet olahraga negara turut membawa pulang lima emas, tiga perak dan lapan gangsa.

Atlet yang menyumbang emas pada edisi kali ini adalah Umar Osman dalam acara 400meter (m), Shereen Samson Vallabouy (400m individu wanita), Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Grace Wong (baling tukul besi) dan Andre Anura Anuar (lompat kijang).

Sementara itu, seorang lagi pemerhati sukan, Datuk Dr Pekan Ramli beranggapan tindakan diambil Shahidan itu perlu dilihat daripada banyak sudut kerana ada positif dan juga negatifnya.

"Lebih baik letakkan sasaran yang tinggi tetapi setidak-tidaknya dapat dicapai walaupun tidak sepenuhnya daripada letak sasaran selamat untuk menjaga air muka persatuan sedangkan boleh capai lebih lagi.

"Kalau sasaran tinggi diletakkan, ini boleh memberi motivasi kepada barisan kejurulatihan dan atlet untuk mencapai sasaran yang diletakkan.

"Jika hanya sasaran selamat atau terlalu rendah, nanti persatuan ambil mudah kerana dengan sasaran rendah yang boleh dicapai, nanti mereka akan dijulang sebagai persatuan yang cemerlang.

"Tetapi untuk olahraga di Sukan SEA 2023, pencapaian itu boleh dianggap memuaskan kerana dengan usaha yang diberikan, memang itulah jumlah yang boleh kita dapat," katanya.

Berita Harian X