Sabtu, 13 Mei 2023 | 3:21pm
Nur Aisyah Zubir mengakhiri saingan di tempat ketiga acara lebuh raya individu wanita yang berlangsung di Angkor Wat, sebentar tadi. Foto Ihsan MSN
Nur Aisyah Zubir mengakhiri saingan di tempat ketiga acara lebuh raya individu wanita yang berlangsung di Angkor Wat, sebentar tadi. Foto Ihsan MSN

Nur Aisyah sumbang gangsa

PHNOM PENH: Skuad berbasikal negara menutup kempen Sukan SEA Kemboja dengan membawa pulang satu gangsa menerusi acara cara lebuh raya individu wanita yang berlangsung di Angkor Wat, sebentar tadi.

Pelumba wanita negara, Nur Aisyah Zubir terpaksa berpuas hati terlepas peluang mengekalkan sekurang-kurangnya pingat perak yang dimenangi pada edisi terdahulu di Hanoi, Vietnam selepas mengakhiri perlumbaan di tempat ketiga dengan catatan masa 2 jam 48 minit 39 saat (100.4 kilometer).

Pingat emas dimenangi wakil Vietnam Nguyen Thi That manakala pelumba Thailand Jutatip Maneephan membawa pulang perak dengan masing-masing turut menghabiskan perlumbaan 2 jam 48 minit 39 saat namun pemenang ditentukan menerusi 'photo finish'.

Sementara itu, jurulatih skuad berbasikal lebuh raya wanita negara, Amir Mustafa berkata, Thailand dan Vietnam membariskan pelumba berpengalaman sekali gus memberi kelebihan kepada mereka untuk mengatasi wakil negara.

"Kita menyedari saingan pada temasya edisi kali ini cukup sengit kerana Thailand dan Vietnam membariskan skuad terbaik mereka sekali gus sukar untuk pelumba kita merangkul tempat pertama.

"Namun, paling penting adalah pelumba wanita negara tidak pulang dengan tangan kosong apabila meraih gangsa sekali gus tidak pulang tangan kosong pada hari terakhir acara berbasikal dipertandingkan di Sukan Sea Kemboja," katanya.

Mengikut rekod, edisi terdahulu menyaksikan Nur Aisyah membawa pulang piingat perak dibelakang pelumba Vietnam, Nguyen Thi That manakala Delia Ayustina Priatna memenangi gangsa untuk Indonesia.

Berita Harian X