Jumaat, 12 Mei 2023 | 12:04pm

Cheong Min cetus sensasi di Kemboja

PHNOM PENH: Kejayaan berganda diraih Tan Cheong Min pada Sukan SEA 2023 menyaksikan dia kini bertekad untuk memburu pingat emas pada temasya Sukan Asia Hangzhou, September ini.

Atlet kecil molek itu muncul atlet pertama negara yang merangkul dua pingat emas di Sukan SEA selepas prestasi mengagumkan dalam acara gabungan nandao dan nangun wanita di Pusat Konvensyen Chroy Changvar.

Cheong Min meraih 9.65 mata bagi acara nandao untuk menamatkan saingan dengan catatan 19.16 mata yang menyaksikan pingat perak dimenangi atlet Vietnam, Phan Thi Thu Binh (18.41 mata) dan gangsa buat atlet Myanmar, Aye Thitsar Myint (18.30 mata).

Atlet berusia 24 tahun yang tampil buat kali pertama di Sukan SEA itu terlebih dahulu merangkul emas pertamanya dalam acara nanquan wanita, Rabu lalu.

"Saya gementar dan teruja kerana akhirnya memenangi pingat emas pertama di Sukan SEA. Saya mahu mendapatkan pingat emas lagi tetapi sebelum itu, saya perlu menunjukkan persembahan yang terbaik.

Atlet wushu negara,Tan Cheong Min terus cemerlang di Sukan SEA Kemboja 2023. Foto: NSTP/FATHIL ASRI.
Atlet wushu negara,Tan Cheong Min terus cemerlang di Sukan SEA Kemboja 2023. Foto: NSTP/FATHIL ASRI.

"Saya mengubah sedikit kombinasi gerakan saya, kesukarannya hampir sama dengan persembahan pada Kejuaraan Dunia 2017 dan 2019.

"Saya tidak mahu mengubah darjah kesukaran kerana saya mahu menjadi lebih baik sebelum berentap di Sukan Asia nanti.

"Berdasarkan catatan di Sukan SEA, saya makin selangkah untuk ke Sukan Asia," katanya.

Atlet kelahiran Melaka itu turut menegaskan pingat emas Sukan SEA tetap membawa makna yang istimewa meskipun dia sudah bergelar juara dunia.

"Pingat ini sangat bernilai kerana acara saya tidak dipertandingkan dalam edisi sebelum ini. Saya memenangi gelaran juara dunia dalam nandao.

"Tetapi saya memenangi pingat emas di Sukan SEA dalam acara nanquan dan nangun-nandao... jika acara ini berasingan, saya mungkin dapat merangkul tiga pingat emas.

"Dua pingat emas ini bagaimanapun berbaloi dengan usaha keras saya selama ini."

Tan Cheong Min muncul atlet Malaysia pertama yang merangkul dua pingat emas dalam acara Nanquan dan Nandao + Nangun pada temasya Sukan SEA 2023 di Pusat Konveksyen Chroy Changvar hari ini. - Foto BERNAMA
Tan Cheong Min muncul atlet Malaysia pertama yang merangkul dua pingat emas dalam acara Nanquan dan Nandao + Nangun pada temasya Sukan SEA 2023 di Pusat Konveksyen Chroy Changvar hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X