PHNOM PENH: Atlet jiujitsu negara, Adam Akasyah sedang memperkuatkan mental ketika dia menyasarkan kilauan emas pertama buat skuad negara pada Sukan SEA Kemboja.
Atlet berasal dari Petaling Jaya itu akan menentang wakil Thailand, Janthanaka Sukitpeerarat pada pusingan pertama acara lelaki bawah 69 kilogram (kg) Gi di Chroy Changvar Convention Hall B, esok.
Kemenangan akan meletakkan Adam berdepan lawan lebih kuat, Noah Lim dari Singapura yang pernah mengetepikannya untuk pingat emas pada temasya 2021 di Vietnam atau wakil Vietnam, Nguyen Huu Kang pada suku akhir.
Adam mendedahkan dia menjalani latihan komprehensif di bawah kendalian jurulatih kebangsaan, Lim Fang Han.
Persekutuan Jiu-Jitsu Malaysia (MJFF) juga menyediakan pakar psikologi sukan, Dr Rebecca Wong yang sebelum ini bersama Institut Sukan Negara (ISN) bagi membantu Adam dan rakan sepasukan, Damon Soo.
"Kami melalui persiapan terbaik sebelum ke Sukan SEA, ia paling lengkap setakat ini berbanding dua edisi di Filipina dan Vietnam.
"Kali ini kami mendapat khidmat tambahan pakar psikologi sukan, latihan sangat spesifik dan latihan visual.
"Saya yakin 150 peratus bersedia dan ia sepatutrnya boleh dapat emas. Tiada tekanan bagi saya dan saya harap dapat kejayaan ketiga di sini," kata Adam.
Atlet berusia 22 tahun ini membuat penampilan ketiga di Sukan SEA sejak menang gangsa pada 2019 di Filipiina dan perak di temasya sebelum ini.