Selasa, 2 Mei 2023 | 1:29pm
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika sidang media Pengumuman Senarai Pemberian Bantuan Dana dan Peruntukan Bagi Menjalankan Program Dan Aktiviti Pembangunan Belia dan Sukan di Putrajaya. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika sidang media Pengumuman Senarai Pemberian Bantuan Dana dan Peruntukan Bagi Menjalankan Program Dan Aktiviti Pembangunan Belia dan Sukan di Putrajaya. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Hannah jawab kritikan sasaran rendah, kontinjen ramai

PUTRAJAYA: Temasya Sukan SEA adalah pentas yang akan membantu barisan atlet pelapis mendapat pendedahan sebelum diketengahkan ke peringkat lebih tinggi seperti Sukan Asia dan Olimpik.

Itu penegasan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh selepas timbul kritikan apabila kontinjen negara sekadar menyasarkan memenangi 40 pingat emas di sebalik keputusan menghantar kontinjen terbesar ke Sukan SEA Kemboja 2023 yang akan disingkap tirainya secara rasmi Jumaat ini.

"Fokus Sukan SEA adalah pembangunan dan persaudaraan. Sebab itu, kita buat keputusan untuk bagi barisan pelapis (memperoleh) lebih banyak latihan dan pendedahan dulu supaya di Sukan Asia dan Olimpik, kita akan ada barisan pelapis dan atlet muda yang mempunyai pengalaman... fokus itu diberikan untuk Sukan SEA Kemboja ini," kata Hannah.

Beliau berkata demikian selepas majlis Pengumuman Pemberian Bantuan Program dan Aktiviti Pembangunan Belia dan Sukan di Menara KBS, hari ini.

Berdasarkan rekod, kontinjen negara di Kemboja dibarisi 927 orang merangkumi 676 atlet dan 251 pegawai yang dijadual menyertai 34 daripada 36 sukan dipertandingkan.

Daripada jumlah 676 itu, 387 atlet berada di bawah 23 tahun dan 440 daripadanya adalah atlet yang membuat penampilan sulung di temasya edisi ke-32 berkenaan.

Hannah sebelum ini mengumumkan sasaran negara di Phnom Penh adalah 40 pingat emas, 37 perak dan 64 gangsa selain optimis atlet mampu mencipta kejutan dan mampu untuk menambah jumlah pungutan pingat keseluruhan.

Sementara itu, Hannah berharap tindakan kementerian memperkenalkan ruangan khusus di laman sesawang www.kbs.gov.my untuk tujuan permohonan dana dan peruntukan bagi membiayai aktiviti berkaitan pembangunan belia dan sukan, memudahkan setiap persatuan belia dan sukan.

"Ketika sesi libat urus sebelum ini, ramai yang membangkitkan perkara tidak tahu memohon peruntukan dan siapa mendapat peruntukan berkenaan. Jadi kita mengambil langkah dengan memperkenalkan satu ruangan khusus agar pentadbiran untuk perkara ini nampak lebih telus.

"Ruangan berkenaan menyenaraikan pemberian bantuan dan setakat ini (Mei 2023) sudah ada 32 permohonan merangkumi jumlah keseluruhan sebanyak RM880,050.

"Senarai kelulusan penerima bantuan akan dikemaskini dari semasa ke semasa bagi rujukan dan semakan oleh orang ramai terutamanya dalam kalangan pemegang taruh belia dan sukan. Sekiranya mana-mana badan yang menerima peruntukan tidak menjalankan aktiviti berkenaan, ia boleh dilaporkan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

"Amalan tadbir urus dan tatakelola yang telus, tertib dan teratur adalah komitmen dan keutamaan KBS, terutamanya membabitkan pemberian bantuan, termasuk hebahan mengenai penerima bantuan," katanya.

Setakat ini, antara penerima dana tertinggi iaitu berjumlah RM100,000 adalah Persatuan Footgolf Malaysia dan Persatuan Sorak dan Daftar Malaysia (CHARM).

Berita Harian X