Selasa, 2 Mei 2023 | 1:09pm
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh bergambar bersama dengan atlet pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara yang akan beraksi di Sukan SEA Kemboja 2023. - Foto Saifullizan Tamadi.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh bergambar bersama dengan atlet pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara yang akan beraksi di Sukan SEA Kemboja 2023. - Foto Saifullizan Tamadi.

'Perlu berani letak sasaran tinggi'

KUALA LUMPUR: Adakah sasaran 40 pingat emas yang disasarkan kontinjen negara di Sukan SEA Kemboja 2023 boleh diterima dan relevan?

Persoalan itu timbul selepas kontinjen ke Phonm Penh adalah antara kontinjen terbesar di luar Kuala Lumpur dengan kekuatan 927 atlet dan pegawai.

Malah, adakah sasaran itu berbaloi dengan perbelanjaan jutaan ringgit yang dibelanjakan untuk membiayai mereka bertanding di Kemboja?

Perbelanjaan di Kemboja membabitkan tiket penerbangan, penginapan, makan dan minum serta uniform dan ia belum termasuk kos latihan serta elaun mereka.

Mengulas mengenai perkara itu, pemerhati sukan, Datuk Dr Pekan Ramli menyifatkan sasaran 40 emas sebagai 'sasaran paling berani'.

Menurutnya, sasaran itu sememangnya sudah dijangka dan Malaysia seharusnya berani meletakkan sasaran tinggi yang mampu mendorong atlet melakukan aksi terbaik dan meletakkan kontinjen negara dalam kedudukan teratas keseluruhan di rantau Asia Tenggara.

"Walaupun sesetengah persatuan sukan kebangsaan (PSK) itu, mereka akan buat perkiraan berdasarkan prestasi semasa atlet termasuk lawan di negara lain, tetapi kita pun perlu 'push' atlet kita walaupun pertama kali menyertainya, kena 'push' supaya dapat emas.

"Biarlah kita letak sasaran tinggi daripada kita letak sasaran rendah tetapi (dalam masa sama) sebenarnya kita yakin bahawa kita mampu dapat lebih. Itu nampak sangat seperti kita bermain dengan nombor.

"Apa yang perlu ditakutkan, tak ada orang yang kena letak jawatan, tak ada menteri kena letak jawatan, tak ada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, tak ada Presiden Majlis Olimpik Malaysia terpaksa letak jawatan sekiranya tak capai sasaran di Sukan SEA.

"Kenapa perlu takut? Kita nak atlet kita ditanamkan satu semangat juang, tak ada istilah 'never say die', itu maksud saya," kata Pekan.

Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengumumkan sasaran kontinjen negara di Kemboja iaitu 40 emas, 37 perak dan 64 gangsa selepas mengambil kira beberapa sesi libat urus membabitkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bersama PSK.

Selain itu, sasaran itu turut mengambil kira keputusan negara penganjur yang tidak menyenaraikan 57 acara daripada Sukan SEA Vietnam tahun lalu yang menyaksikan kontinjen negara hilang 18 emas, 16 perak dan 30 gangsa.

Pencapaian terbaik negara di luar Kuala Lumpur adalah di Sukan SEA Korat 2007 apabila meraih 68 emas, 52 perak dan 96 gangsa untuk berada di kedudukan kedua keseluruhan di belakang tuan rumah Thailand.

Pada edisi sebelum ini di Vietnam 2021, Malaysia berada di kedudukan keenam keseluruhan dengan meraih 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa.

Berita Harian X