KUALA LUMPUR: Persatuan Tinju Malaysia (PTM) akan memberikan insentif khas kepada mana-mana atlet negara yang berjaya memenangi pingat emas pada Sukan SEA Kemboja di Phnom Penh.
Presiden PTM, Datuk Mohamad Iruan Zulkefli, berkata insentif yang disediakan itu adalah untuk menyuntik semangat petinju negara bagi mengakhiri kemarau selama enam tahun untuk menghadiahkan emas kepada kontinjen Malaysia.
"Kita akan berikan insentif itu sebaik saja atlet memenangi emas, kita bayar pada waktu itu juga. Jumlahnya saya tidak boleh umumkan, tetapi apa yang saya boleh katakan ia lebih menarik daripada apa yang diterima ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017," katanya.
Sebagai rekod, kali terakhir skuad tinju meraih emas adalah pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 menerusi Muhammad Fuad Redzuan dalam acara light flyweight 49 kilogram (kg) selepas menumbangkan petinju Thailand, Thani Narinram di pentas final.
Pada temasya yang akan berlangsung dari 5 hingga 17 Mei ini, seramai tujuh petinju dipilih bagi menggalas cabaran negara di Phnom Penh.
Bekas pemenang gangsa kategori midleweight (79kg) Sukan SEA Kuala Lumpur, Indran Rama Krishnan dianggap prospek terbaik bagi menghadiahkan emas buat skuad negara pada temasya kali ini.
Bagaimanapun, dia yang tidak menyertai dua edisi terakhir Sukan SEA sebelum ini bertukar kategori apabila akan beraksi dalam kategori 86kg.
"Kita mengharapkan dua atlet kita berjaya mara ke final dan salah seorang daripadanya adalah Indran. Dia seorang atlet yang berpengalaman dan kali ini bertukar kategori kepada 86kg.
"Dalam tempoh dua tahun ini, dia menunjukkan komitmen yang tinggi apabila memenangi emas dalam semua kejohanan dalam negara. Jadi, kita percaya ada peluang untuk di meraih emas di Kemboja nanti," kata Iruan.
Pada Sukan SEA Hanoi di Vietnam, tahun lalu, skuad tinju negara gagal membawa pulang emas apabila berpuas hati dengan meraih tiga gangsa.