Carlos igauan skuad gimnastik
Shahrul jadi sandaran saingi juara dunia 2019
Oleh Helmi Talkah
Kuala Lumpur: Kelibat juara dunia dari Filipina, Carlos Yulo bakal membayangi pemburuan pingat emas skuad gimnastik artistik lelaki negara pada Sukan SEA Kemboja di Phnom Penh dari 5 hingga 17 Mei ini.
Kehadiran Carlos sememangnya memberi impak yang cukup besar terhadap persaingan memburu emas di temasya dwitahunan itu berdasarkan statusnya selaku juara Kejohanan Dunia 2019 dalam acara senaman lantai dan melombol pada edisi 2021.
Bagaimanapun, jurulatih skuad negara, Ng Shu Wai tetap optimis dengan kemampuan barisan atlet negara yang disenaraikan untuk menggalas cabaran di Phnom Penh dan percaya tiada apa yang mustahil untuk mereka memberi tentangan sengit bagi merebut emas.
Katanya, dengan strategi yang tepat, skuad negara kali ini diramal mampu untuk sekurang-kurangnya menghadiahkan pingat buat kontinjen Malaysia.
"Saya yakin dan berani janji bahawa mereka akan bawa pulang pingat tetapi warna itu masih belum pasti.
"Kita kena ada strategi yang tepat kerana kali ini tuan rumah menetapkan syarat bahawa seorang atlet hanya boleh menyertai dua acara final, jadi jika strategi kita tepat saya yakin tiada masalah untuk bawa pulang pingat," katanya.
Pada temasya kali ini, skuad negara meletakkan sandaran kepada gimnas nombor satu, Shahrul Aimy Kamarul yang mempunyai pengalaman beraksi di Sukan Komanwel Birmingham 2022 selain memenangi gangsa dalam acara kekuda pelana di Sukan SEA Hanoi di Vietnam, tahun lalu.
"Sebagai gimnas nombor satu, sudah tentu sandaran diletakkan kepada dia (Shahrul). Saya harap dia kekal tenang dan tidak terlalu tertekan.
"Namun, saya faham, dia atlet utama dan ramai mahu dia menang. Dia akan merasai tekanan di situ tetapi tekanan itu juga adalah sesuatu yang baik untuk dia," kata Shu Wai.
Pada edisi di Hanoi, skuad gimnastik negara berjaya membawa pulang empat emas, dua perak dan dua gangsa.
Emas disumbangkan Rachel Yeoh dalam acara palang bertingkat dan batang titian wanita manakala dua lagi emas disumbangkan dalam acara gimrama menerusi berpasukan dan individu keseluruhan.
Peluang Malaysia untuk meraih emas di Phnom Penh terjejas selepas tuan rumah menggugurkan acara bagi kategori wanita kali ini sekali gus menyaksikan sandaran sepenuhnya diletakkan di atas bahu atlet lelaki negara.
Skuad gimnastik artistik lelaki kali ini menyenaraikan enam atlet bagi menggalas cabaran negara di Phnom Penh.
Sukan: Gimnastik artistik
Tarikh pertandingan: 6 hingga 9 Mei
Venue: Olympic Stadium Centre, Marquee Tent
Pingat ditawarkan: 8 emas
Pencapaian 2021: 4 emas, 2 perak, 2 gangsa
Senarai atlet:
Muhammad Shahrul Aimy Kamarul, Teoh Chuen Feng, Luqman Al Hafiz Zulfa, Ally Hamuda Abdullah, Muhammad Syakir Aiman Subri, Ng Chun Chen