PUTRAJAYA: Dasar Pandang ke Timur dengan menjadikan Jepun sebagai rujukan utama tampak menjadi pilihan Malaysia sebagai usaha menamatkan penantian memenangi pingat emas sulung di Sukan Olimpik Paris 2024.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang mengetuai lawatan delegasi Jawatankuasa Road To Gold (RTG) ke negara matahari terbit itu baru-baru ini, berkata kepakaran Jepun khususnya yang dimiliki Universiti Sains Sukan Nippon (NSSU) di Tokyo sudah terbukti dengan pencapaian dilakar atlet negara berkenaan.
"Kenapa Jepun? Kerana mereka adalah negara Asia yang banyak memenangi pingat emas (di Olimpik). Apabila saya pergi ke universiti mereka (NSSU), galeri Dewan Kemasyhuran mereka saja menampilkan lebih 40 pemenang pingat emas di peringkat universiti.
"Bayangkan kita di peringkat negara masih memburu emas pertama. Mereka adalah pakar.
"Jadi apa yang kami sudah bincang dengan Presiden NSSU, mereka bagi komitmen sepenuhnya kepada kita. Apa-apa yang kita perlukan mereka akan bantu," kata Hannah ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Akuan Sokongan Kod Sukan Selamat bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), hari ini.
Turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
NSSU memiliki rekod hebat dalam penghasilan atlet-atlet bertaraf dunia dan sudah melahirkan 137 pemenang pingat untuk Kontinjen Jepun di temasya Sukan Olimpik serta Paralimpik, termasuk 41 pingat emas keseluruhan.
Ahli jawatankuasa lain yang menyertai lawatan ke Jepun adalah Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli dan penyelaras RTG, Stuart Ramalingam.
Mengulas lanjut, Hannah, berkata pihaknya ketika ini sedang meneliti strategi terbaik untuk tidak hanya bergantung kepada sukan seperti berbasikal, badminton dan terjun bagi menyumbang pingat buat kontinjen negara di Sukan Olimpik.
"Sebenarnya kita ada banyak lagi atlet yang berpotensi jika ada strategi yang betul. Sebab itulah, kita menjalin kerjasama dengan Universiti Sains Sukan Nippon.
"Selepas kita meneliti, perbandingan paling jelas yang dapat dilihat adalah cara mereka mencungkil bakat bermula sangat awal di peringkat sekolah," katanya.
Pada 12 Mac lalu, Hannah mengumumkan pembentukan Jawatankuasa RTG dengan objektif untuk menyelaras usaha negara bagi merealisasikan impian meraih emas sulung di Olimpik yang mana ia akan menyediakan rangka kerja jangka panjang meliputi Paris 2024 dan Los Angeles 2028.
Seramai 15 atlet yang berpotensi untuk memenangi pingat dipilih untuk berada dalam program RTG.
Daripada 15 atlet yang tersenarai itu, 11 daripadanya membabitkan wakil daripada sukan badminton iaitu pemenang gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik selain pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia dan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah.
Turut tersenarai tiga beregu profesional iaitu satu wakil dalam beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan dua pasangan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.
Selain badminton, atlet sukan lain yang tersenarai ialah jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan rakan sepasukannya Muhammad Shah Firdaus Sahrom serta dua wakil sukan terjun iaitu Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri.