Khamis, 30 March 2023 | 8:19pm

Basikal lebuh raya, silat mampu cipta kejutan di Kemboja

NILAI: Meskipun sasaran meraih empat pingat emas masing-masing bagi acara berbasikal lebuh raya dan pencak silat, kejutan meraih lebih daripada itu mungkin mampu dilakukan pada temasya Sukan SEA Kemboja, Mei nanti.

Ini diluahkan, Timbalan Chef de Mission kontinjen negara, Datuk Shalin Zulkifli berdasarkan tahap persiapan yang dilakukan atlet kedua-dua sukan terbabit setakat ini.

Katanya, adalah tidak mustahil kejutan boleh dilakukan ataupun setidak-tidaknya menyamai pencapaian dua pingat emas bagi setiap acara berkenaan yang diraih pada edisi Sukan SEA di Hanoi, Vietnam, tahun lalu.

"Saya sebenarnya tidak terkejut bukan sahaja dua sukan ini tetapi sukan lain juga untuk mencipta kejutan di Kemboja nanti dengan meraih lebih banyak pingat emas. Bagaimanapun ia akan bergantung kepada keadaan mereka apabila tiba di sana nanti.

"Atlet kini dilihat begitu bersemangat dan berkobar-kobar, tambahan pula kita juga ada beberapa atlet senior dan berpengalaman yang akan membantu atlet muda.

"Jika mereka dapat melakukan yang terbaik semasa latihan, insya-Allah akan dapat keputusan yang baik," katanya di sini, lewat petang semalam.

Terdahulu Shalin mengadakan lawatan ke venue latihan atlet ke Sukan SEA Kemboja bagi sukan berbasikal lebuh raya dan pencak silat di Pusat Latihan Majlis Sukan Negara (MSN), di sini.

Beliau berpuas hati dengan tahap persiapan atlet negara bagi kedua-dua sukan berkenaan walaupun perlu menjalani latihan pada bulan puasa.

"Saya lihat tahap persiapan mereka agak baik, kebanyakan atlet pula baru balik dari pertandingan dan selepas ini akan menyertai lagi pertandingan di luar negara sebelum ke Sukan SEA.

"Bagi sukan silat ini contohnya, daripada 19 atlet yang akan ke Sukan SEA, 15 daripadanya adalah pesilat muda dan pertama kali bertanding di Sukan SEA. Masing-masing teruja dan tidak sabar menunggu hari pertandingan," katanya.

Shalin berharap berbaki kira-kira enam minggu sebelum temasya berprestij itu, setiap atlet dapat menggunakan peluang sebaik mungkin untuk meningkatkan lagi prestasi.

"Dalam masa sama juga perlu elakkan daripada berlakunya kecederaan selain menjaga kesihatan dan pemakanan supaya fizikal mereka bersedia dengan latihan intensif," katanya.

Katanya, jumlah sasaran pingat hanya akan dapat diketahui bulan depan selepas sesi perbincangan dengan MSN, Institut Sukan Negara (ISN) dan Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK).

Sebelum ini, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dilaporkan berkata, sasaran pingat buat kontinjen negara pada temasya Sukan SEA Kemboja akan diumumkan pada bulan depan.

Mohamad Norza berkata, Sukan SEA Kemboja yang berlangsung dari 5 hingga 17 Mei ini akan menjadi kayu pengukur terhadap prestasi sebenar kontinjen negara pasca pandemik COVID-19.

Timbalan Ketua Kontinjen ke Sukan SEA Kemboja, Datuk Shalin Zulkifli (dua dari kiri) dan Sharon Wee (kiri) meninjau persiapan skuad berbasikal lebuh raya wanita di Pusat Latihan Sukan Velodrom Nasional dan Kompleks Sukan MSN, Nilai. - Foto NSTP/Azrul Edham
Timbalan Ketua Kontinjen ke Sukan SEA Kemboja, Datuk Shalin Zulkifli (dua dari kiri) dan Sharon Wee (kiri) meninjau persiapan skuad berbasikal lebuh raya wanita di Pusat Latihan Sukan Velodrom Nasional dan Kompleks Sukan MSN, Nilai. - Foto NSTP/Azrul Edham
Berita Harian X