KUALA LUMPUR: Sukan karate diyakini bakal menjadi lubuk utama pemburuan pingat emas pada temasya Sukan SEA Kemboja 2023 yang dijadualkan berlangsung Mei ini.
Ketua Kontinjen Malaysia ke Kemboja, Datuk Mohd Nasir Ali berkata ia berdasarkan sukan berkenaan sama sekali tidak pernah menghampakan dalam beberapa temasya sebelum ini.
Katanya, ini perkukuhkan lagi apabila skuad negara kali ini menerima suntikan jurulatih baharu dari Mesir, Tamer Abdelraouf Mohamed Mourssy.
"Memang saya berani kata karate adalah antara sukan yang memberikan harapan tinggi.
"Kalau mereka boleh dapat empat di Hanoi, saya rasa mereka boleh dapat lebih lagi nanti di Kemboja, InsyaAllah," katanya selepas melawat latihan skuad karate di Majlis Sukan Negara, Bukit Jali, dekat sini, hari ini.
Pada edisi lalu di Hanoi, skuad negara menamatkan saingan dengam meraih empat emas dan enam gangsa untik berada di kedudukan ketiga keseluruhan.
Vietnam muncul juara dengan tujuh emas, dua perak dan enam gangsa manakala Indonesia di tempat kedua dengan empat emas, lapan perak dan dua gangsa.