SEREMBAN: Petinju kebangsaan, Muhammad Abdul Qaiyum Ariffin tekad memanfaatkan sebaik mungkin latihan di Thailand yang akan bermula esok, sebagai pencetus kebangkitannya dalam misi memburu pingat emas di temasya Sukan SEA di Kemboja.
Petinju berasal dari Perak ini berkata dia bersama enam lagi rakan sepasukan akan menjalani latihan di negara Gajah Putih itu sebagai persiapan fasa akhir sebelum berjuang di temasya dwitahunn itu Mei ini.
"Kami akan bertolak ke Thailand petang ini untuk persiapan latihan fasa akhir sebelum menyertai temasya Sukan SEA.
"Saya berhasrat untuk menggunakan peluang ini dengan sebaik mungkin bagi meningkatkan tahap prestasi kerana setakat ini persiapan kami mencapai sekitar 85 peratus.
"Selain latihan biasa, kami juga akan didedahkan dengan beberapa ujian sepanjang berada di sana dan saya lihat ia adalah peluang yang baik untuk mencapai tahap prestasi terbaik sebelum ke Kemboja nanti," katanya ketika dihubungi hari ini.
Penampilan Qaiyum di arena sukan tinju tempatan mula mencuri tumpuan apabila atlet berusia 21 tahun ini memenangi pingat emas menerusi kategori 48 kilogram (kg) pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2022, yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Dia kemudian dipilih menggalas cabaran negara pada Sukan Komanwel Birmingham 2022, yang diadakan sekitar Julai dan Ogos tahun lalu.
Qaiyum berkata dia sudah menetapkan sasaran untuk memenangi pingat emas di Kemboja bagi kategori 52kg, iaitu temasya dwitahunan kali kedua yang disertainya selepas Sukan SEA Vietnam 2021.
"Ketika di Vietnam, saya terkandas di pusingan awal. Ya saya akui pada masa itu tidak cukup bersedia untuk memberikan persembahan cemerlang selain tiada pengalaman beraksi di pentas tertinggi ASEAN itu.
"Meskipun begitu, pengalaman di Vietnam tetap berharga dalam membantu saya membuat persiapan terbaik untuk berdepan cabaran di Kemboja nanti.
"Saya akan jadikan pengalaman itu sebagai panduan untuk membolehkan dapat menghadapi pertarungan demi pertarungan sehingga ke peringkat penentuan pingat," katanya.
Dia yang mendapat bimbingan jurulatih Awang Affandey Awang Kati, mengakui perlu terus bekerja keras dan mempersiapkan diri sepanjang latihan di Thailand, demi untuk merealisasikan sasaran pingat emas.