KUALA LUMPUR: Laluan sukar bakal ditempuh skuad gimnastik negara pada temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja, Mei ini dalam usaha menyamai jumlah pungutan empat pingat emas yang diraih di Vietnam tahun lalu.
Apa tidaknya, Phnom Penh hanya mempertaruhkan kategori lelaki berbanding di Hanoi yang menyenaraikan kedua-duanya. Pada temasya 2021 menyaksikan Malaysia meraih semua emas menerusi acara wanita.
Pun begitu, cabaran ini diambil secara positif oleh pasukan kendalian jurulatih Ng Shu Liang meskipun sedar di Kemboja nanti bukan semudah disangka, ditambah pula dengan penyertaan juara dunia dari Filipina, Carlos Yulo.
"Kali ini di Kemboja kita tak ada acara wanita," kata Shu Liang kepada media selepas lawatan Ketua Kontinjen, Datuk Mohd Nasir Ali dan timbalannya, Datuk Shalin Zulkifli dan Sharon Wee di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, di sini, hari ini.
"Memang sangat sukar untuk acara lelaki, tambahan ketua kontinjen juga katakan, juara dunia dari Filipina akan menyertai saingan kali ini. Seperti kita tahu, dia sudah menang dua emas berturut-turut di Piala Dunia.
"Jadi dia memang akan jadi pencabar yang kuat kerana tarafnya bukan lagi Asia Tenggara, tetapi dunia. Bagi saya, dalam sukan apa apa pun boleh jadi. Kita hanya perlu buat apa yang kita rancang.
"Kita ada dua atlet baru yang menyertai pasukan memandangkan atlet senior sudah tidak lagi bersama pasukan. Mereka akan dibantu dengan empat lagi atlet senior yang berpengalaman, jadi diharap mereka akan melakukan sesuatu,".
Skuad negara ke Kemboja kali ini disertai empat gimnas berpengalaman iaitu Muhammad Sharul Aimy, Ng Chun Chen, Lukman Al Hafiz, Teoh Chuen Feng manakala dua atlet muda, Ally Hamuda dan Shakir Aiman bakal membuat penampilan sulung di Kemboja nanti.
"Kita ada dua atlet baharu dalam pasukan. Jadi bagi saya ini pasukan baharu dan sekarang ada empat gimnas di Hanoi dan tambah lagi dua, yang tak ada pengalaman di peringkat antarabangsa. Jadi harap mereka dapat lakukan yang terbaik.
"Buat masa ini, kita fokus pada latihan. Saya rasa kekuatan yang paling kuat dalam pasukan ini adalah Sharul dalam acara melombol dan Lukman pun okey kerana dia 'all-around'," katanya.
Pada temasya di Hanoi tahun lalu, empat pingat emas Malaysia dimenangi menerusi Rachel Yeoh Li Wen dalam acara palang bertingkat dan batang titian manakala dua lagi menerusi gimrama dalam acara all around berpasukan dan all around individu.