Rabu, 15 Februari 2023 | 6:57pm
Sukan SEA Kemboja akan berlangsung bermula dari 5 hingga 17 Mei ini.
Sukan SEA Kemboja akan berlangsung bermula dari 5 hingga 17 Mei ini.

Persiapan negara ke Sukan SEA kali ini lebih baik

KUALA LUMPUR: Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Kemboja, Datuk Mohd Nasir Ali percaya persiapan atlet negara bagi menghadapi temasya itu kali ini adalah lebih baik berbanding edisi di Hanoi, Vietnam, tahun lalu.

Katanya, walaupun perbezaan masa hanya setahun dengan penganjuran di Hanoi, namun beliau percaya atlet mampu meneruskan kesinambungan itu malah tidak mustahil untuk memperbaiki pencapaian tahun lalu.

"Walaupun tempoh masa antara (Sukan SEA) Hanoi dan Kemboja dekat tetapi mereka (atlet) sudah buat persiapan sebelum temasya Hanoi berlangsung lagi. Jadi dari segi waktu itu memang mencukupi.

"Momentum itu memang kita ada kerana hasil penglibatan di Hanoi sebelum ini. Kami dapati ada kesinambungan dan tiada jurang, oleh itu atlet-atlet kita lebih bersedia berbanding di Hanoi," katanya.

Pada Sukan SEA Hanoi, Malaysia berjaya melepasi sasaran 36 pingat emas apabila membawa pulang 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa dengan sukan terjun menjadi penyumbang emas terbesar menerusi lapan emas.

Dalam pada itu, Mohd Nasir turut memaklumkan persiapan tuan rumah bagi menganjurkan temasya sukan dua tahun sekali itu berjalan lancar dengan kesemua venue dilaporkan hampir siap sepenuhnya.

"Persiapan Sukan SEA di Kemboja berjalan dengan baik, terutamanya dari segi venue-venue hampir siap, cuma perkampungan sukan masih dalam proses pembangunan tetapi mereka berjanji akan siap sebelum temasya bermula nanti," katanya.

Sukan SEA Kemboja akan berlangsung bermula dari 5 hingga 17 Mei ini.

Berita Harian X