KUALA LUMPUR: Skuad terjun negara menyasarkan tiga pingat emas daripada empat acara yang dipertandingkan di Sukan SEA Kemboja pada 5 hingga 17 Mei ini.
Temasya kali ini menyaksikan skuad negara mempertaruhkan barisan penerjun muda dengan sandaran untuk menjelmakan salah satu emas sekali lagi diletakkan di bahu penerjun senior, Muhammad Syafiq Puteh yang juga pemenang emas dalam acara 3 meter (m) papan anjal individu di Sukan SEA Hanoi, tahun lalu.
Sebanyak empat acara dipertandingkan di Kemboja iaitu 3m papan anjal lelaki wanita dan 10m platform lelaki wanita individu.
Penolong jurulatih skuad negara, Datuk Leong Mun Yee, berkata senarai atlet ke Sukan SEA sudah dikenal pasti namun hanya tinggal satu lagi tempat iaitu dalam acara 3 meter papan anjal akan diputuskan dalam masa terdekat.
"Untuk temasya kali ini, kami sasarkan tiga emas tiga perak dan dua gangsa. Sukar untuk kita sapu bersih semua emas sebab kebanyakan atlet kali ini adalah atlet muda dan ada di antara mereka yang baru pertama kali disenaraikan ke Sukan SEA. Persaingan juga sengit.
"Contohnya kalau dalam acara lelaki, persaingan datang dari Singapura, Thailand dan dalam acara wanita, penerjun Indonesia," katanya selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Atlet ke Sukan SEA Kemboja di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini, hari ini.
Sebagai rekod, skuad terjun negara menyapu bersih kesemua lapan emas yang dipertandingkan selain turut membawa pulang tiga perak dan satu gangsa di Sukan SEA Hanoi, tahun lalu.