KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diharap dapat kembali mempertimbangkan sukan taekwondo untuk berada dalam sukan teras sekali gus dapat merancakkan lagi pembangunan bakat baharu.
Setiausaha Agung Taekwondo Malaysia (TM), R Dhanaraj berkata, pihaknya pada masa ini agak bimbang mengenai masa depan sukan berkenaan terutama dalam mencungkil bakat baharu.
"Kalau kita tidak tumpukan kepada program pembangunan pada masa akan datang, ia akan memberi kesan kepada sukan ini untuk melahirkan atlet terbaik. Prestasi akan jatuh mendadak, jadi kita mahu atlet berbakat ini masuk dalam program.
"Namun TM berdepan kekangan dana kerana apabila kita dikeluarkan daripada program teras, semua perancangan kita terutama program sukan pembangunan di peringkat negeri mahupun persatuan terhenti. Ketiadaan dana dan sebagainya menyebabkan program pelapis terhenti. Ini semua masalah yang kami hadapi," kata Dhanaraj.
TM sebelum ini berada dalam senarai tiga sukan digugurkan daripada sukan teras pada Disember 2017 termasuk sepak takraw dan angkat berat.
"Situasi ini bukan saja mengancam pembangunan atlet remaja tetapi memutuskan semangat atlet dan jurulatih serta membebankan TM untuk mendapatkan bantuan penajaan bagi kemajuan dan pencapaian meraih emas Olimpik pertama melalui sukan taekwondo," katanya.
Bagi meleraikan isu berkenaan terus menghantui mereka, Dhanaraj berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan KBS dalam masa terdekat bagi membincangkan hala tuju taekwondo.
"TM menyediakan lapan muka surat untuk kita berjumpa dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. Kita berharap menteri dapat pertimbangkan hasrat kita untuk kembali dalam sukan teras," katanya.