KUALA LUMPUR: Skuad gimnastik artistik negara diramal sukar membawa pulang pingat emas pada Sukan SEA Kemboja, Mei ini selepas tuan rumah hanya mempertandingkan artistik lelaki di temasya itu kali ini.
Setiausaha Kehormat Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Afrita Ariany Nasril berkata situasi itu membuatkan skuad negara sukar untuk sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian memenangi empat emas di Sukan SEA Hanoi di Vietnam, tahun lalu.
Katanya, skuad negara juga berdepan cabaran getir dengan kehadiran juara dunia daripada Filipina, Carlos Yulo yang dilapor akan menyertai semua apparatus yang dipertandingkan di Kemboja.
"Temasya kali ini hanya ada satu acara untuk kami iaitu artistik lelaki walaupun sebenarnya pertandingan aerobik turut diadakan. Namun, kami belum ada lagi wakil negara untuk acara itu sebaliknya kami ada peserta untuk Sukan Sea saja.
"Edisi ini mempertaruhkan lapan pingat dan setakat ini hanya Mohd Sharul Aimy, Ng Chun Chen dan Luqman Al Hafiz Zulfa yang juga penyertaan kedua.
"Kejohanan di Vietnam yang lalu adalah tahun pertama mereka dalam pasukan senior. Malah Sharul pernah beraksi dalam Sukan Komanwel (Birmingham) jadi saya harap mereka mampu meraih pencapaian yang lebih baik pula.
"Kami mempunyai potensi dalam pemburuan pingat tapi kami perlu berdepan peserta Filipina, Carlos, yang menyertai semua apparatus," katanya.
Pada Sukan SEA Hanoi, Malaysia membawa pulang empat emas masing-masing dua daripada gimmastik artistik wanita dan dua dalam gimrama. Ketika itu, skuad lelaki hanya berjaya membawa pulang satu perak dan satu gangsa menerusi Tan Fu Jie dan Shahrul.