Isnin, 9 Januari 2023 | 4:30pm
Jaguh silat negara, Mohd Al-Jufferi Jamari menerima sebuah kereta elektrik jenama Appollen A1 pada malam kemuncak Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). STR/AZIAH AZMEE.
Jaguh silat negara, Mohd Al-Jufferi Jamari menerima sebuah kereta elektrik jenama Appollen A1 pada malam kemuncak Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). STR/AZIAH AZMEE.

Al Jufferi mahu kembali aktif berlakon

KUALA LUMPUR: Bekas jaguh silat negara, Mohd Al Jufferi Jamari memberitahu dia selepas ini akan kembali bergiat aktif dalam bidang lakonan seperti mana yang pernah dilakukannya sebelum ini.

Al Jufferi, 30, berkata ketika ini dia dan pengarah Datuk Dr Fairus Hussain sedang merangka projek baharu bagi kesinambungan filem Syahadan yang akan diumumkan tidak lama lagi.

"Saya akan mencuba dunia baru iaitu hiburan untuk jadi pelakon Insha Allah kerana Datuk Dr Fairuz sedang merangka filem mungkin ada kesinambungan Syahadan yang lepas.

"Jadi filem kedua saya mungkin ada dalam masa terdekat kita masih lagi berbincang esok (Isnin) malam akan buat keputusan. Apapun doakan saya supaya dapat mengangkat dunia perfileman seperti yang dibuat Yayan Ruhian," katanya.

Semalam, Al Jufferi dinobatkan sebagai Ikon Sukan Terbaik pada Malam Kemuncak Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro (HM) di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi.

Kejayaan itu menyaksikan Al-Jufferi membawa pulang sebuah kereta elektrik jenama Appollen A1 (hatchback 5 pintu) bernilai RM136,000, wang tunai RM5,000, sebuah trofi dan langganan percuma akhbar digital HM selama setahun.

Sementara itu, Al Jufferi yang mengumumkan persaraannya secara rasmi, Ogos tahu lalu, berkata pada masa yang sama dia tidak menolak kemungkinan untuk kembali aktif dalam arena persilatan negara.

Bagaimanapun, dia menjelaskan perkara itu tidak akan berlaku dalam masa yang terdekat memandangkan dirinya perlu berehat baik dari segi mental mahupun fizikal.

Katanya, dia ketika ini mahu meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga selepas gagal berbuat demikian sebelum ini disebabkan komitmennya sebagai seorang atlet.

Berita Harian X