KUALA LUMPUR: Tahun 2023 menyajikan jadual yang agak padat buat arena sukan rantau ini apabila bakal menyaksikan dua temasya berlangsung iaitu Sukan SEA Kemboja dan Sukan Asia Hangzhou.
Musim baharu ini juga bakal menyaksikan atlet negara menyertai kejohanan kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 dan bagi badang negara, Muhammad Erry Hidayat, fokus utamanya adalah memburu tiket ke temasya terbesar dunia itu.
"Saya nak cuba layak ke Olimpik," kata pemenang pingat perak dalam kategori 73 kilogram (kg) pada Sukan Komanwel Birmingham, tahun lalu itu. "Bagi saya, saya kena memberi fokus kepada kelayakan Olimpik, itu yang saya utamakan pada masa ini."
Di Birmingham, Erry melakukan angkatan keseluruhan 303kg - catatan yang jauh daripada angkatan peribadi terbaiknya, 316kg yang dilakukan ketika meraih gangsa pada Sukan SEA Vietnam, Mei lalu.
Emas pada ketika itu dimenangi atlet India, Achinta Sheuli dengan angkatan keseluruhan 313kg manakala gangsa diraih wakil Kanada, Shad Darsigny (298kg).
Di Hanoi, gangsa diraih Erry selepas melakukan angkatan 316kg yang juga rekod baharu kebangsaan manakala emas dimenangi Rahmat Erwin Abdullah (Indonesia). Perak dimemangi atlet Thailand, Anucha Doungsri dengan angkatan 321kg.
"Untuk musim baharu ini, kalau boleh saya ingin dapatkan angkatan keseluruhan yang lebih baik daripada tahun lalu. Ini adalah sebagai persiapan saya untuk menghadapi kejohanan yang akan datang musim ini," katanya.