PETALING JAYA: Meskipun berbeza 'padang' dan 'gelanggang', dua bintang sukan tempatan, Arif Aiman Hanapi dan Lee Zii Jia akan 'berentap' bagi ikon Sukan Lelaki Gardenia Breakthru Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro (HM).
Arif Aiman yang juga pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) menjadi 'prospek' paling hangat dalam kancah bola sepak tempatan dengan memenangi Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2021 selain membantu skuad Harimau Selatan memenangi empat piala musim ini.
Zii Jia yang juga pemain perseorangan badminton negara pernah menjuarai Seluruh England 2021 dan juara Kejohanan Badminton Asia 2022 selain menduduki ranking ketiga dunia.
Arif Aiman dan Zii Jia akan ditentang tiga lagi pencabar bagi kategori terbabit iaitu juara dunia badminton, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; Al Jufferi Jumari (silat) dan Muhammad Azeem Fahmi (olahraga).
Bagi kategori Ikon Wanita Gardenia Breakthru, beregu sensasi badminton negara, Pearly Tan-M Thinaah turut 'lolos' sebagai finalis bersama atlet terjun, Nur Dhabitah Sabri.
Tiga lagi atlet wanita adalah Tahira Najmunissa Muhammad Zaid (duathlon), Intan Serah Anisah Zulgafli (futsal) dan Fatin Nurfatehah Mat Salleh (memanah).
Sebagai rekod, malam kemuncak AIS HM 8 Januari ini bakal menobatkan Ikon Sukan Terbaik yang dipilih dalam kalangan calon Top 5 yang memperoleh undian tertinggi membabitkan lapan kategori.
Lapan kategori utama iaitu Ikon Sukan Lelaki Gardenia Breakthru, Ikon Sukan Wanita Gardenia Breakthru, Ikon Sukan Paralimpik, Ikon Sukan Jurulatih, Ikon Sukan Persatuan/Kelab, Ikon Sukan Kepimpinan, Ikon Sukan Harapan dan Ikon Sukan Pempengaruh.
Selain itu, AIS HM turut memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada bekas atlet menerusi kategori khas, Anugerah Ikon Sukan Lagenda yang bakal diumumkan pada malam kemuncak nanti.
Pemenang semua kategori ini akan menerima sebuah trofi, wang tunai RM5,000 dan langganan e-paper Harian Metro selama setahun.
Manakala pemenang Anugerah Ikon Sukan Terbaik akan membawa pulang sebuah trofi, langganan e-paper Harian Metro selama setahun dan sebuah kereta elektrik jenama Appollen A1 (hatchback 5 pintu) bernilai RM136,000.