PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan beliau tidak berhasrat untuk memperkenalkan program baharu membabitkan pembangunan sukan negara, sebaliknya akan mencari jalan untuk terus memperkasakan program sedia ada.
Beliau yang mengangkat sumpah jawatan, Sabtu lalu, menggariskan lima aspek yang akan menjadi fokus utamanya bagi menerajui Kementerian Belia dan Sukan (KBS), termasuk memastikan sukan dapat diakses oleh semua.
"Perkara pertama saya mahu pastikan sukan dapat diakses untuk semua. Kedua, memberikan ruang yang selamat kepada atlet kita.
"Ketiga dari segi kebajikan atlet dan saya akan dapatkan pandangan daripada mereka. Keempat, selalunya orang akan rasa kalau ada kepemimpinan baharu, pasti ada program baharu tetapi saya tidak berhasrat untuk memperkenalkannya (program baharu).
"Sebaliknya, saya mahu mendengar dan mencari jalan memperkasakan program sedia ada, manakala kelima ia membabitkan aspek belia yang mana turut membabitkan lebih kurang 17 kementerian lain dan saya menjalin kerjasama untuk pastikan ada kesinambungan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media pertamanya sebagai Menteri Belia dan Sukan ketika memulakan tugas pada hari pertama di KBS di sini, hari ini.
Jawatan Menteri Belia dan Sukan sebelum ini disandang Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Hannah adalah menteri ke-21 sejak penubuhan kementerian itu pada 1964.
Hannah yang pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat adalah pemimpin wanita kedua dalam sejarah dilantik bagi menerajui KBS selepas Datuk Seri Azalina Othman Said.
Dalam pada itu, Hannah berkata, beliau tidak mahu memberi tekanan kepada atlet terutama dalam soal memburu pingat emas pertama di temasya Sukan Olimpik yang ketika ini masih belum tercapai.
"Sebab itu saya kata tidak mahu buat program baharu supaya atlet ada kesinambungan mereka. Kalau kita asyik tukar hala tuju, susah untuk atlet kita.
"Jadi, bagi saya sangat mudah, sukan adalah sukan dan tidak perlu dirumitkan," katanya yang juga Ahli Parlimen Segambut.
Sementara itu, beliau turut menegaskan bersikap terbuka terhadap kepemimpinan persatuan sukan kebangsaan yang mungkin berlainan fahaman politik.
"Saya di sini bukan untuk menghukum sesiapa atau mengejar individu-individu tertentu. Jika mereka mampu melaksanakan tugas dengan baik, mereka boleh meneruskan tugas masing-masing," katanya.