Sabtu, 3 Disember 2022 | 5:45pm
 Gambar fail - Menteri Belia dan Sukan yang baru, Hannah Yeoh. - Foto NSTP/Nik Hariff Hassan
Gambar fail - Menteri Belia dan Sukan yang baru, Hannah Yeoh. - Foto NSTP/Nik Hariff Hassan

Warga sukan alu-alukan pelantikan Hannah terajui KBS

KUALA LUMPUR: Warga sukan tanah air mengalu-alukan pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baharu seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, berkata kehadiran Ahli Parlimen Segambut itu menerajui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diharapkan dapat memperkukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua pihak.

"Kami berharap beliau akan meneruskan agenda sukan tanah air dan meneruskan program-program atlet untuk Sukan SEA dan Sukan Asia.

"Kami juga berharap KBS dibawah kepimpinan beliau akan meneruskan sokongan yang sepenuhnya ke arah mempergiatkan lagi pergerakan Olimpik di Malaysia," katanya.

Jawatan Menteri Belia dan Sukan sebelum ini disandang Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. Hannah adalah menteri ke-21 sejak penubuhan kementerian berkenaan pada 1964.

Hannah yang pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat adalah pemimpin wanita kedua dalam sejarah dilantik bagi menerajui KBS selepas Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Azalina pula dinamakan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi).

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berkata pihaknya teruja dengan pelantikan Hannah yang disifatkan 'wajah baharu' dalam arena sukan tanah air.

"Kami teruja untuk bekerja bersama beliau dalam dunia sukan negara yang mana umumnya tahu bahawa sukan adalah milik semua…milik rakyat.

"Walaupun secara peribadi kita belum mengenali beliau tetapi mengikuti perkembangan dan perjuangan beliau, ketenangan dan kesungguhan beliau sangatlah kita kagumi dan boleh kita jadikan asas perjuangan kita dalam membangunkan sukan milik semua ini. Demi Malaysia," katanya.

Berita Harian X