Rabu, 30 November 2022 | 2:04pm
Aksi Firhan Ashaari (kiri) ketika Malaysia bertemu Kanada dalam saingan Kumpulan B Piala Negara-Negara FIH 2022 di Potchefstroom, Afrika Selatan, semalam. Malaysia menewaskan Kanada 3-2. - Foto FIH/World Sports Pic
Aksi Firhan Ashaari (kiri) ketika Malaysia bertemu Kanada dalam saingan Kumpulan B Piala Negara-Negara FIH 2022 di Potchefstroom, Afrika Selatan, semalam. Malaysia menewaskan Kanada 3-2. - Foto FIH/World Sports Pic

Usah perlekeh Jepun

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki negara diingatkan untuk tidak memandang rendah kemampuan Jepun menjelang aksi terakhir Kumpulan B saingan Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) 2022 di Potchefstroom, Afrika Selatan, malam esok.

Malaysia turun dalam perlawanan itu dengan misi wajib menang bagi melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

Atas kertas kelebihan memihak kepada skuad bimbingan Arul Selvaraj itu apabila menang tiga pertemuan terakhir dengan pemenang pingat emas Sukan Asia 2018 berkenaan.

"Setakat ini statistik kita dengan Jepun agak baik dan memuaskan. Tiga kali kita bermain menentang mereka kita menang iaitu ketika aksi persahabatan di Piala Asia, saingan Piala Asia dan Piala Sultan Azlan Shah.

"Namun, statistik ini hanya angka kerana apa yang lebih penting adalah prestasi pemain dalam perlawanan esok.

"Kita juga kena lihat dari segi kecederaan yang mana saya perlu ubah posisi pemain untuk menyenaraikan kesebelasan utama yang terbaik. Kecederaan adalah sesuatu yang menjadi kebimbangan untuk saya," kata Arul.

Semalam, skuad negara menghidupkan kembali peluang untuk mara ke separuh akhir apabila melakar kemenangan 3-2 ke atas Kanada dalam aksi kedua peringkat kumpulan.

Sehari sebelum itu, anak buah Arul memulakan kempen dengan langkah kiri apabila tewas 0-1 di tangan Korea Selatan.

Aksi bertemu Kanada menyaksikan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal muncul wira negara apabila meledak dua gol termasuk gol kemenangan selain satu gol daripada Muhammad Firhan Ashari.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Arul mengakui bangga dengan semangat juang tinggi ditunjukkan barisan pemain negara apabila dua kali bangkit daripada ketinggalan.

"Kami dua kali ketinggalan dalam perlawanan tetapi pemain sekali lagi menunjukkan semangat juang tinggi dimiliki mereka untuk kembali bangkit. Saya berbangga dengan apa yang ditunjukkan pemain.

"Namun, kawalan ke atas pihak lawan masih dan reaksi segera yang diperlukan daripada pemain masih lagi longgar. Kami perlu perbaiki kelemahan ini," katanya.

Berita Harian X