Isnin, 28 November 2022 | 8:04pm
Atlet terjun negara, Nurdhabitah Sabri (kiri) dan Datuk Pandelela Rinong meraikan kejayaan memenangi pingat emas dalam acara 10 platform seirama wanita pada GP FINA di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil. - Foto BERNAMA
Atlet terjun negara, Nurdhabitah Sabri (kiri) dan Datuk Pandelela Rinong meraikan kejayaan memenangi pingat emas dalam acara 10 platform seirama wanita pada GP FINA di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil. - Foto BERNAMA

MS puas hati prestasi skuad negara di GP FINA

KUALA LUMPUR: Persekutuan Renang Malaysia (MS) berpuas hati dengan prestasi dipamerkan skuad terjun negara pada Grand Prix (GP) Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) Malaysia (GP Malaysia), yang berakhir semalam.

Walaupun tanpa penyertaan antarabangsa terutama dari China, Setiausaha Agung MS, Mae Chen berkata atlet kebangsaan telah mempamerkan aksi memberangsangkan pada kejohanan berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu.

Beliau berkata berdasarkan pemarkahan juri, persembahan penerjun negara adalah dikagumi dengan terjunan lebih mantap kecuali Ong Ker Ying yang masih baharu di pentas kejohanan.

"Persembahan Datuk Pandelela Rinong Pamg dan Nur Dhabitah Sabri lebih baik berbanding di Olimpik Tokyo 2020. Markah itu sekurang-kurangnya menghadiahkan mereka pingat gangsa," katanya kepada Bernama.

Mae berkata bagi kategori lelaki, Jellson Jabillin dan Ooi Tze Liang turut memberikan aksi hebat untuk mencipta prestasi terbaik masing-masing bagi musim ini.

"Kita juga dapat lihat Kimberly Bong dan Enrique Maccartney Harold mula menunjukkan kebangkitan semula selepas menjalani pembedahan dan pemulihan.

"Bagaimanapun, kedua-dua penerjun negara itu masih perlukan sokongan ISN (Institut Sukan Negara) berhubung latihan mental bagi membantu mereka menangani lawan lebih kuat dalam saingan lebih besar tahun depan dan menjelang Sukan Olimpik Paris 2024," katanya.

Skuad terjun negara menyapu bersih lapan pingat emas dipertandingkan pada kejohanan yang diadakan di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, selepas dua tahun terhenti berikutan pandemik COVID-19.

Walaupun menyumbang mata ranking dunia oleh FINA, namun sebilangan peserta dari luar negara sahaja menyertai kejohanan berkenaan iaitu dari Australia, Korea Selatan, Mesir dan Indonesia.

- BERNAMA

Berita Harian X