Ahad, 27 November 2022 | 9:01pm
Kontinjen PKNS meraikan kejayaan mempertahankan kejuaraan Sukan Gemaputera di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Kontinjen PKNS meraikan kejayaan mempertahankan kejuaraan Sukan Gemaputera di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam. - Foto NSTP/Ghazali Kori

PKNS pertahan kejuaraan Sukan Gemaputera

KUALA TERENGGANU: Kontinjen Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menepati sasaran apabila mempertahankan kejuaraan Kejohanan Sukan Gemaputera Ke-16 yang berakhir di sini, semalam.

PKNS muncul juara selepas mengutip empat pingat emas dan tiga pingat perak mengecewakan kontinjen tuan rumah, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) sebagai naib johan meraih dua emas, satu perak dan tiga gangsa.

Begitupun, kekecewaan PMINT sedikit terubat apabila berjaya meraih ibu segala pingat dalam acara futsal manakala Johor Corporation (JCORP) meraih di tempat ketiga kejohanan yang dianjurkan dua tahun sekali itu.

Ketua Kontinjen PKNS, Suhaimi Kasdon berkata pihaknya bersyukur kerana masih berjaya mempertahankan kejuaraan pada kejohanan tahun ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat dan Keusahawan) PKNS berkata, peserta yang menyertai PKNS ini memulakan latihan selepas dimaklumkan kejohanan ini bakal diadakan di Terengganu pada April tahun ini.

"Kalau ikutkan Selangor menjadi tuan rumah pada 2020, namun dibatalkan akibat wabak COVID-19. Ketika itu semua persiapan pasukannya dan kejohanan sudah tersusun rapi.

"Walaupun hanya dimaklumkan pada bulan April lalu untuk kejohanan ini, namun kita tidak berdepan masalah kerana kebanyakan pasukan yang bertanding sentiasa aktif," katanya ditemui selepas Majlis Penutup Kejohanan Sukan Gemaputera Ke-16 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini, malam tadi.

Majlis penyampaian hadiah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farouk Hussin Tengku Abdul Jalil dan Yang Dipertua Gemaputera Malaysia, Wan Adnan Wan Derahman.

Sementara itu, Wan Sukairi berkata sebanyak 14 kontinjen Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) membabitkan hampir 1,200 atlet menyertai pada Sukan Gemaputera bermula 22 November lalu.

Beliau berkata, kejohanan yang diadakan di dua daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus itu membabitkan lapan jenis sukan iaitu golf, badminton, ping-pong, bola jaring, futsal, boling, dart dan karom.

"Kita berharap kejohanan ini mampu melahirkan bakat baharu mewakili negeri dan negara ke peringkat lebih tinggi. Kejohanan ini juga akan diteruskan pada tahun 2024 dengan Pulau Pinang dipilih sebagai tuan rumah," katanya.

Berita Harian X