KUALA LUMPUR: Akhbar Harian Metro buat julung kalinya menganjurkan Anugerah Ikon Sukan (AIS) untuk mengiktiraf kepentingan industri sukan di Malaysia.
Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit berkata penganjuran AIS bertujuan untuk menyuntik semangat dan sokongan rakyat terhadap ikon sukan negara.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa AIS berkata, ia juga sekaligus dapat memainkan peranan dalam memastikan industri sukan negara terus berdiri kukuh dan melakar kejayaan yang lebih gemilang.
"Pemilihan pemenang berdasarkan penilaian daripada juri profesional dan juga kuasa
undian yang dilakukan oleh pembaca menerusi akhbar Harian Metro dan atas talian (online).
"Harian Metro bakal menjadi penerbitan media tempatan pertama yang memperkenalkan
anugerah yang membabitkan undian pilihan pembaca untuk industri sukan," katanya selepas pelancaran anugerah itu di Balai Berita, Bangsa, di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Omnia, Datuk Michael Chan; Pengurus Pemasaran Gardenia Bakeries, Ena Suhaila Abas; Ketua Pegawai Operasi TV9, Sherina Mohamed Nordin; Ketua Pegawai Operasi (Solusi Komersil) Media Prima Omnia, Zanny Liu dan Pengarang Berita Kanan (Sukan & Hiburan) Harian Metro, Abdul Manan A Samad.
Sebanyak lapan kategori utama akan dipertandingkan iaitu Ikon Sukan Lelaki Breakthru; Ikon Sukan Wanita Breakthru; Ikon Sukan Paralimpik; Ikon Sukan Jurulatih; Ikon Sukan Persatuan/Kelab; Ikon Sukan Kepimpinan; Ikon Sukan Harapan; dan Ikon Sukan Pempengaruh.
Seorang pemenang keseluruhan yang meraih undian dan markah tertinggi akan dinobatkan dengan Anugerah Ikon Sukan Terbaik dan pemenangnya akan diumumkan pada malam kemuncak AIS yang dijadualkan berlangsung pada awal tahun depan.
Harian Metro selaku penganjur AIS juga akan menyampaikan satu trofi khas iaitu Anugerah Ikon Sukan Lagenda bagi menghargai jasa dan sumbangan bekas atlet dalam pembangunan industri sukan tempatan.