Khamis, 29 September 2022 | 9:20pm
Atlet Terengganu, Syahida Asyiqin Rusli (kanan) menerima ciuman ibunya, Rabidah Said selepas memenangi pingat dalam acara kayak pada SUKMA 2022 di Putrajaya, baru-baru ini. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah.
Atlet Terengganu, Syahida Asyiqin Rusli (kanan) menerima ciuman ibunya, Rabidah Said selepas memenangi pingat dalam acara kayak pada SUKMA 2022 di Putrajaya, baru-baru ini. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah.

Kerajaan Terengganu sedia bantu Syahida Asyiqin

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu tidak akan sesekali membiarkan atlet kanu berbakat besar, Syahida Asyiqin Rusli bersara lebih awal daripada sukan kegemarannya itu.

Sebaliknya kerajaan negeri sedia membantu atlet berusia 18 tahun itu kekal aktif dalam sukan akuatik itu selepas cemerlang dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-20 di Lembah Klang yang melabuhkan tirainya pada 24 September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya sudah merangka perancangan kepada atlet berkenaan supaya terus aktif dalam sukan kanu.

"Kita akan mambantu atlet itu supaya terus aktif dalam sukan kegemarannya. Jadi kita bersama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) akan berbincang dengan atlet itu mengenai hala tujunya.

"Kemungkinan kita akan tempatkan atlet itu di institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini mengikut kesesuaian dan dalam jurusan pilihannya, lagipun dia masih muda. Jadi kita tidak mahu bakat yang ada itu tidak digilap.

"Begitu juga dengan masa depan dalam pelajarannya kerana dia masih layak beraksi di temasya SUKMA 2024. Kita akan rangka program seimbang antara latihan dan pelajaran," katanya ketika dihubungi.

Selain kerajaan negeri, Wan Sukairi berkata, Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) turut bersedia untuk membantu atlet berbakat besar itu untuk terus aktif dalam sukan berkenaan.

"Selain IPT dalam negeri, pelbagai IPT dalam negara juga boleh ditawarkan kepada atlet itu. Yang penting dia terus aktif dalam sukan kanu itu kerana banyak kejohanan boleh disertai termasuk Sukan SEA di Kemboja 2023 selain SUKMA edisi ke-21," kata Wan Sukairi.

Terdahulu Syahida meluahkan hasrat untuk bersara awal dalam sukan itu selepas cemerlang meraih empat pingat emas, dua perak dan satu gangsa dalam temasya SUKMA edisi ke-20 pada pertengahan bulan ini.

Berdasarkan rekod, atlet muda itu memecah rekod kebangsaan dalam acara K1 1000 meter (m), K1 500m, K1 200m dan K2 200m.

Berita Harian X