Khamis, 29 September 2022 | 8:35pm
Duli Yang Teramat Mulia, Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Nazhatul Shima Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah (dua kiri) berkenan menyempurnakan perasmian pra pelancaran Kejohanan Bola Jaring Terbuka Kebangsaan Piala Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan di UiTM Seri Iskandar, Perak.
Duli Yang Teramat Mulia, Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Nazhatul Shima Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah (dua kiri) berkenan menyempurnakan perasmian pra pelancaran Kejohanan Bola Jaring Terbuka Kebangsaan Piala Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan di UiTM Seri Iskandar, Perak.

Raja Puan Besar Perak lancar bola jaring kebangsaan

KUALA LUMPUR: Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Nazhatul Shima Almarhum Sultan Idris A'fifullah Shah berkenan bercemar duli menyempurnakan majlis pra pelancaran Kejohanan Bola Jaring Terbuka Kebangsaan Piala Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan di Dewan Seri Iskandar, UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar.

Kejohanan terbabit dijadualkan berlangsung di Dewan Seri Iskandar, UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar pada 20 hingga 23 Oktober ini.

Edisi sulung kejohanan itu menyaksikan penyertaan 16 pasukan di peringkat kebangsaan yang terdiri daripada pasukan negeri, institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) serta MAKSAK.

Penolong Naib Canselor (InQKA) UiTM, Profesor Dr Azizah Abdullah berkata penganjuran kejohanan itu adalah sebagai komitmen pihaknya dalam membudaya dan menyemarakkan gaya hidup bersukan selaras dengan slogan 'kampus sukan' dalam kalangan warga UiTM serta masyarakat.

Katanya, penganjuran kejohanan acara sukan yang membabitkan penyertaan wanita sangat kurang di negara ini.

"Sehubungan itu, dengan adanya kejohanan seperti ini, ia mampu melahirkan pemain berbakat yang berpotensi untuk mewakili negara pada suatu hari nanti khususnya dalam sukan bola jaring.

"Selain itu, kejohanan ini adalah salah satu medium terbaik untuk menaikkan nama UiTM dan Persatuan Bola Jaring Negeri Perak dengan menggunakan kepakaran sedia ada dan seterusnya mampu untuk menjadi penganjur utama sukan ini di Perak.

"Ia juga berpotensi untuk membuka ruang dan memberi impak kepada universiti bagi membina jaringan industri bersama jabatan dan agensi sukan sekitar Perak.

"Penganjuran kejohanan ini juga mampu memberi pendedahan dalam aspek pengurusan dan pengelolaan sesuatu kejohanan kepada Jawatankuasa Sukan Pelajar apabila mereka juga terbabit secara langsung sebagai penganjur dalam kejohanan kali ini," katanya.

Berita Harian X