Khamis, 29 September 2022 | 6:17pm
 Skuad berbasikal kebangsaan yang menjadi sandaran pada perlumbaan LTdL 2022 bermula 11 Oktober ini.
Skuad berbasikal kebangsaan yang menjadi sandaran pada perlumbaan LTdL 2022 bermula 11 Oktober ini.

Skuad berbasikal kebangsaan tekad cetus impak LTdL 2022

KUALA LUMPUR: Skuad berbasikal kebangsaan mahu mencetuskan impak pada perlumbaan PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 sekali gus enggan dilabel hanya menjadi pelengkap untuk edisi ke-26 itu.

Bagi ketua jurulatihnya, Mohd Yusof Nasir, kehadiran lebih banyak pasukan berstatus elit WorldTeam dan Pro Continental pada edisi yang dijadual berlangsung dari 11 hingga 18 Oktober ini, menjadikan anak buahnya bertambah semangat sekali gus menjadi pengukur kepada tahap kemampuan mereka berkayuh bersama handalan dunia.

Sasaran diletakkan Yusof adalah berada di pentas podium di mana-mana peringkat perlumbaan selain mahu barisan pelumba negara lebih peka dan agresif apabila berada dalam peloton.

"Saya lebih yakin dengan pelumba yang terpilih pada kali ini kerana mereka sudah lama berlatih tetapi hanya bertanding di dalam negara sahaja. Tahap kecergasan mereka akan ditingkatkan ke tahap lebih tinggi menjelang bermula LTdL 2022, 11 Oktober nanti.

"Apa yang saya harapkan ialah pelumba yang terpilih kali ini memberi impak yang lebih bermakna dan sentiasa agresif untuk berada dalam kelompok 'breakaway'. Saya harap mereka dapat mengikis tanggapan ia hanya pasukan pelengkap jadual," katanya.

Enam pelumba pilihan dan dua pelumba simpanan pasukan kini menjalani latihan di bawah kendalian penolong jurulatih, Amir Mustapa iaitu Nik Mohd Azwan Zulkiflie, Sofian Nabil Omar Bakri, pelumba kembar Muhammad Ameer dan Muhammad Ameen Ahmad Kamal, Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil dan pelumba muda, Kee Zha Yie serta dua pelumba simpanan Ariff Danial Noor Roseibi dan Norhasmat Abdul Aziz.

"Menjelang dua minggu sebelum bermula LTdL 2022, kami akan membuat latihan berintensiti lebih tinggi di sekitar Kuala Lumpur terutama di laluan sekitar Kuala Pilah dan Genting Highlands supaya pelumba dapat mengikut rentak kayuhan lebih laju peloton yang pastinya akan diterajui pasukan-pasukan WorldTeam," kata Mohd Yusof.

Untuk rekod, skuad kebangsaan hanya pernah dua kali menyertai perlumbaan di pentas antarabangsa sepanjang 2022 iaitu di Jelajah Thailand pada April dan Sukan SEA Vietnam pada Mei.

LTdL 2022 akan membuka tirai saingan dengan Peringkat 1 membabitkan laluan dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur sejauh 157.3 kilometer (km); Peringkat 2 Kuala Klawang-Raub (178.9km); Peringkat 3 Putrajaya-Genting Highlands (123.7km); Peringkat 4 Sabak Bernam-Meru Raya (137.9km); Peringkat 5 Kuala Kangsar-Kulim (172.0km); Peringkat 6 Georgetown-Alor Setar (120.4km); Peringkat 7 Kuah-Gunung Raya (90.8km) dan Peringkat 8 Loop Langkawi (115.9km), dengan jarak keseluruhan 1,096.9km.

Edisi kali ini dianggap paling sengit dan menarik dengan penyertaan enam pasukan WorldTeam iaitu UAE Team Emirate (UAE), Cofidis (Perancis), Lotto Soudal (Belgium), EF Education EasyPost (Amerika Syarikat), Movistar (Sepanyol) dan Astana-Qazaqstan (Kazakhstan).

Empat pasukan berstatus Pro Continental pula adalah Drone Harper-Androni Giocattoli (Itali), Uno X-Pro Cycling (Norway), Alpecin-Deceuninck (Belgium) dan Burgos-BH (Sepanyol).

Cabaran pasukan Continental pula diketuai dua pasukan profesional benua tempatan, Terengganu Polygon Cycling Team dan Team Sapura Cycling, dua pasukan berdaftar di Indonesia iaitu Mula Cycling Team dan Roojai Cycling Team, ARA Pro Racing Sunshine Coast (Australia), China Glory Continental Cycling Team (China), ProTouch (Afrika Selatan) da Kuwait Pro Cycling (Kuwait).

Pasukan rantau Asia lain termasukah Thailand Continental Team (Thailand), Team UKYO (Jepun), 7-Eleven Cliqq Air (Filipina) dan pasukan kebangsaan Malaysia.

Berita Harian X