Khamis, 29 September 2022 | 5:53pm
Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail (berdiri, empat kiri) pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama dengan TUDUNGPEOPLE International Sdn Bhd di Bukit Jalil, hari ini.
Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail (berdiri, empat kiri) pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama dengan TUDUNGPEOPLE International Sdn Bhd di Bukit Jalil, hari ini.

Isu doping SUKMA tak jejas peluang angkat berat

KUALA LUMPUR: Isu sama ada angkat berat bakal kembali berada dalam sukan teras tidak akan berpaksikan daripada kes doping yang berlaku pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN 2022, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menjelaskan, isu doping yang melanda tiga atlet angkat berat dari Perlis dan Terengganu itu sepatutnya tidak menjadi persoalan memandangkan MSN sentiasa menyalurkan bantuan kepada pembangunan sukan berkenaan sebelum ini.

"Kemasukan sukan angkat berat ke sukan teras tidak ada kena mengena dengan isu doping yang berlaku. Sudah tentu ketika digugurkan (angkat berat) daripada sukan teras sebelum ini, ia adalah kerana isu doping yang masih berpanjangan.

"Pada satu ketika PABM (Persekutuan Angkat Berat Malaysia) dilihat begitu berjaya dalam menanganinya tetapi dalam masa sama saya memahami perasaan PABM... betapa kecewanya mereka apabila ada atlet negeri yang didapati positif.

"Jadi itu yang mendorong mereka terpaksa membuat satu keputusan yang begitu drastik sekali. Oleh itu, isu samada angkat berat dimasukkan ke dalam sukan teras atau tidak, bukan menjadi isu utama kerana bantuan yang kami berikan kepada PABM dan khususnya perkembangan angkat berat adakalanya melebihi daripada mereka yang berada dalam sukan teras.

"Perkara ini boleh disahkan dengan PABM sendiri. Kita masih ada program pelapis negeri yang kita biayai bersama dengan Majlis Sukan Negeri. Kita ada program Sukan Komanwel yang meraih dua emas baru-baru ini dan sukan angkat berat adalah sukan pilihan utama yang dipilih di negeri-negeri untuk dipertandingkan di SUKMA, walaupun ia bukan sukan teras.

"Jadi ia tidak ada kena mengena dengan sukan teras. Yang penting pada ketika ini, kita kena terus berusaha untuk mencari bakat angkat berat ini dan dalam masa sama memberi pendidikan kenapa doping itu satu elemen yang sepatutnya tidak lagi menjadi perkara sinonim dengan angkat berat.

"Jadi usaha yang PABM dan presidennya lakukan selama ini, kita akan sentiasa mendokong mereka dalam perkara berkenaan," kata Ahmad Shapawi dalam sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian penajaan antara MSN dan syarikat tudung tempatan, TUDUNGPEOPLE International Sdn Bhd, hari ini.

Perjanjian yang dimeterai ini memperlihatkan TUDUNGPEOPLE akan menjalinkan kerjasama bersama MSN sehingga 2024.

Untuk rekod, angkat berat menjadi antara tiga sukan yang digugurkan daripada senarai sukan teras negara selain sepak takraw dan taekwondo pada 2017, susulan prestasi sukan angkat berat itu yang semakin merosot serta pelbagai masalah disiplin seperti kegagalan beberapa atletnya dalam ujian doping.

Berita Harian X