Khamis, 29 September 2022 | 5:52pm
PSM mendapat notis pembatalan daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) pada 15 September lalu.
PSM mendapat notis pembatalan daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) pada 15 September lalu.

PSM sudah jawab notis cadangan pembatalan

KUALA LUMPUR: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sudah mengemukakan maklumbalas terhadap notis cadangan pembatalan oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) terhadap badan sukan berkenaan semalam.

Mengesahkan perkembangan itu, Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata dalam notis berkenaan PPS tidak menyatakan secara spesifik alasan untuk mengambil tindakan sedemikan.

Katanya, dalam maklum balas kepada pihak berkenaan, PSM mengemukakan beberapa alasan kukuh yang menyokong kepada bantahan pihak persatuan terhadap cadangan pembatalan diusulkan itu.

"Antara alasan dikemukakan kepada PJS adalah bahawa PSM adalah satu-satunya badan sukan pengelola kebangsaan bagi sukan sepak takraw di Malaysia yang diiktiraf Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

"Melalui pengiktirafan ini, atlet sukan sepak takraw tetap boleh menyertai kejohanan antarabangsa seperti Sukan SEA dan Sukan Asia melalui penyertaan dalam kontinjen negara di bawah MOM.

"Selain itu, PSM adalah satu persatuan yang masih bergiat aktif dan kini menaungi 11 ahli gabungan negeri dan lima ahli bersekutu. PSM juga tidak pernah melanggar mana-mana peraturan yang dibuat di bawah akta 576.

"PJS sudah dimaklumkan bahawa pada 21 September 2022, Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur memberikan kebenaran kepada PSM untuk menfailkan semakan kehakiman bagi mencabar dan membatalkan pendaftaran MASTAF (Persekutuan Sepaktakraw Malaysia).

"Pendengaran bagi semakan kehakiman akan ditetapkan pada 5 Oktober 2022. Oleh yang demikian, PJS tidak seharusnya membatalkan pendaftaran PSM sebelum mahkamah membuat keputusan berkenaan status pendaftaran MASTAF," kata Sumali dalam satu kenyataan, hari ini.

PSM diberikan notis cadangan pembatalan oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) pada 15 September lalu dan ia disahkan PJS, Ibrahim Mohd Yusof yang memaklumkan badan sukan berkenaan mempunyai tempoh 14 hari yang berakhir 6 Oktober ini bagi mengemukakan rayuan.

Mengulas lanjut, Sumali berkata pihaknya sentiasa komited ke arah penyatuan dan penggabungan antara PSM dan MASTAF.

Malah katanya, PSM di dalam surat kepada PJS bertarikh 18 Ogos 2022 menyatakan hasrat berkenaan dengan menetapkan beberapa syarat iaitu penggabungan secara 'en bloc' dan pemilihan jawatankuasa yang baharu dengan segera.

"Namun PJS dalam maklumbalasnya pada 7 September 2022 menyatakan MASTAF menolak syarat berkenaan. Walaubagaimanapun, PSM masih terus optimis bahawa jalan penyelesaian bagi segala konflik yang berlaku ni dapat dicapai tanpa sebarang campur tangan pihak luar.

"PSM berharap perbincangan bersama yang dimaklumkan oleh Menteri Belia dan Sukan serta PJS dapat direalisasikan segera demi kelangsungan pembangunan sukan sepak takraw negara," katanya.

Berita Harian X