Khamis, 29 September 2022 | 12:04pm
Aksi skuad hoki kebangsaan (jersi putih) ketika bertemu Belgium pada perlawanan Jelajah Belgium 2022 di Antwerp, semalam. - Foto ihsan FB MHC
Aksi skuad hoki kebangsaan (jersi putih) ketika bertemu Belgium pada perlawanan Jelajah Belgium 2022 di Antwerp, semalam. - Foto ihsan FB MHC

Belgium belasah anak buah Arulselvaraj

KUALA LUMPUR: Pasukan hoki lelaki kebangsaan menerima pengajaran berguna ketika bertemu skuad ranking kedua dunia Belgium pada siri kedua perlawanan persahabatan Jelajah Belgium 2022, semalam.

Malaysia yang berada di kedudukan ke-10 dunia tewas 0-7 kepada pasukan juara Piala Dunia 2018 itu, namun bagi pengendali skuad kebangsaan, A Arulselvaraj mengambil keputusan berkenaan sebagai satu perkara yang positif.

"Walaupun kami tewas 0-7 tetapi terdapat perkara positif yang dilakukan pemain. Antaranya pergerakan bola keluar dari pukulan 16 ela, pergerakan bola ketika menyerang berada dalam posisi yang betul dan ini sangat baik.

"Daripada statistik perlawanan agak seimbang dari segi penguasaan bola sedikit berpihak pada pasukan Belgium serta kelebihan pukulan sudut penalti pula kami memiliki dua peluang sementara mereka memiliki empat peluang dan menjaringkan dua daripadanya," katanya.

Perlawanan itu juga menyaksikan beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang aksi ketiga siri jelajah menentang Perancis pada 4 Oktober ini sebelum sekali lagi bertemu pasukan sama keesokan harinya di Warrior Field Sports Stadium Waterloo.

"Kelemahan yang paling ketara pada aksi ini adalah kelekaan dan kurang memberikan tentangan ketika mempertahankan kawasan gol selain kurang keyakinan ketika berada dalam kawasan gol lawan.

"Pemain perlu memperbaiki keyakinan mereka untuk memegang bola dan mencari jaringan ketika berada dalam kawasan gol lawan dan berani untuk mempertahankan gawang sendiri.

"Untuk dua baki perlawanan bertemu Perancis, kami perlu mencari kemenangan yang selesa kerana dua perlawanan yang sudah kami lalui, ada banyak perkara yang baik ditunjukkan oleh pemain.

"Kelemahan yang saya jelaskan tadi akan dibawa untuk diperbaiki dalam dua perlawanan seterusnya supaya pemain dapat menjaringkan gol selain mempertahankan gawang dengan lebih baik," katanya.

Berita Harian X