Sabtu, 24 September 2022 | 10:52pm
Jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang menyampaikan anugerah kepada Olahragawan SUKMA 2022, atlet kanu Johor, Muhammad Fakhrullah Mohd Rumaize, ketika majlis penutup temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri

Fakhrullah atlet terbaik SUKMA XX

BANGI: Atlet kanu Johor, Muhammad Fakhrullah Mohd Rumaize dinobatkan atlet lelaki terbaik Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN 2022 dengan menggenggam sembilan pingat emas keseluruhan.

Malah, atlet berusia 21 tahun berkenaan turut berjaya memecah dua rekod kebangsaan dalam acara K2 500 meter (m) dan K2 1000m.

Baki tujuh lagi acara yang dimenanginya adalah K1 200m, K2 200m, TBR 1000m, TBR 500m, TBR 500m campuran, TBR 200m dan TBR 200m campuran.

"Selama saya berlatih memang tak ada terfikir untuk dapat anugerah ini. Saya hanya fokus untuk berikan yang terbaik saja dan inilah hasil usaha saya selama tujuh ke lapan tahun.

"Alhamdulillah saya berjaya dapatkan sembilan pingat emas untuk Johor," kata Fakhrullah kepada media.

Johor yang juga juara keseluruhan pada temasya edisi ke-20 ini turut mampu tersenyum lebar apabila gelaran atlet wanita terbaik menjadi milik mereka menerusi perenang muda, Tan Rouxin.

Ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David (kanan) menyampaikan anugerah kepada Olahragawati SUKMA 2022, atlet renang Johor, Tan Rouxin, ketika majlis penutup temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri

Rouxin yang membuat penampilan sulung di SUKMA meraih enam emas, satu perak dan satu gangsa.

Emas diraih dalam acara 50m kuak dada, 100m kuak dada, 200m kuak dada, 100m kuak lentang, 200m kuak lentang dan 200m individu rampaian manakala perak untuk acara 50m kuak lentang dan gangsa, 4x100m rampaian.

"Ini suatu perkara di luar jangkaan disebabkan saya tak pernah terfikir pun untuk anugerah.

"Lagipun ini juga adalah penampilan pertama saya dalam SUKMA. Sasaran saya cuma mahu pecahkan rekod peribadi tapi dapat lebih lagi daripada itu. Sangat tak percaya tapi saya gembira," kata Rouxin.

Ini kali pertama dalam sejarah 36 tahun penganjuran SUKMA, kontinjen Johor muncul juara keseluruhan dengan meraih 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa.

Kontinjen Terengganu di tangga kedua dengan meraih 64 emas, 49 perak dan 56 gangsa manakala Wilayah Persekutuan berada di tangga ketiga dengan 55 emas, 68 perak dan 64 gangsa.

Trofi juara keseluruhan diserahkan kepada kontinjen Johor oleh legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang yang diterbangkan khas dari Melbourne, Australia pula menyampaikan trofi atlet lelaki terbaik kepada Fakhrullah.

Legenda skuasy negara, Datuk Nicol Ann David menyampaikan trofi atlet wanita terbaik kepada Rouxin.

Berita Harian X