Sabtu, 24 September 2022 | 10:42pm
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menyampaikan Anugerah Juara Keseluruhan SUKMA 2022 kepada Ketua kontinjen Johor, Datuk Mohamad Najib Samuri. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menyampaikan Anugerah Juara Keseluruhan SUKMA 2022 kepada Ketua kontinjen Johor, Datuk Mohamad Najib Samuri. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Sultan Ibrahim, TMJ ucap tahniah Johor juarai SUKMA 2022

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, menzahirkan ucapan tahniah kepada kontinjen negeri itu atas kejayaan menjuarai Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 yang melabuhkan tirainya hari ini.

"Tahniah kontinjen Johor juara SUKMA 2022," titah Sultan Ibrahim menerusi hantaran di Facebook rasmi baginda hari ini.

Turut menzahirkan ucapan sama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada kontinjen Johor yang memenangi SUKMA 2022 yang menutup tirainya hari ini.

"Saya merasa bangga melihat kontinjen Johor dapat meraih 77 emas dalam kejohanan kali ini, sekali gus berjaya melepasi sasaran awal yang diletakkan iaitu 40 emas. Tahniah saya ucapkan sekali lagi kepada kontinjen Johor," titah Tunku Ismail menerusi hantaran di Facebook rasmi baginda.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kerajaan negeri akan memberikan penghargaan sewajarnya kepada semua atlet dan kontinjen Johor yang beroleh kejayaan cemerlang yang pertama kali diraih sepanjang 36 tahun penganjuran sukan dwitahunan itu.

"Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua atlet, barisan kejurulatihan, pihak pengurusan, Majlis Sukan Negeri (MSN) Johor serta semua pihak yang menyumbang dalam kejayaan cemerlang kontinjen Johor.

"Terima kasih juga saya ucapkan kepada mereka yang turut hadir memberikan sokongan kepada atlet kita sepanjang temasya ini.

"Insya Allah kerajaan negeri juga sedang merancang sesuatu untuk meraikan kejayaan ini bersama," katanya menerusi Facebook.

Berita Harian X