Isnin, 22 Ogos 2022 | 7:31pm
Sebahagian peserta yang menyertai Kejohanan Bina Badan Peringkat Negeri atau Mr Kedah di Alor Setar, Sabtu lalu. - Foto ihsan Persatuan Bina Badan Kedah.
Sebahagian peserta yang menyertai Kejohanan Bina Badan Peringkat Negeri atau Mr Kedah di Alor Setar, Sabtu lalu. - Foto ihsan Persatuan Bina Badan Kedah.

Kedah mahu lahirkan atlet bina badan berkualiti

KUALA LUMPUR: Persatuan Bina Badan Kedah (PBBKD) mahu menjadi antara persatuan negeri yang berterusan melahirkan atlet berkualiti untuk diketengahkan di peringkat kebangsaan sekali gus tidak ketandusan bakat-bakat baharu dalam sukan itu.

Presidennya, Datuk Mohd Zayad Md Ismail berkata, persatuan itu mahu mencontohi persatuan lain yang lebih berpengalaman dan sering melahirkan atlet bertaraf kebangsaan.

"Selepas lama tidak aktif, Persatuan Bina Badan Kedah diwujudkan semula pada 2015 dan sejak itu, persatuan terus aktif menganjurkan pertandingan serta melahirkan atlet bina badan untuk di ketengahkan di peringkat kebangsaan.

"Saya boleh katakan Kedah berada di kedudukan pertengahan dalam melahirkan atlet berkualiti dan kami sememangnya mahu mencontohi persatuan lebih berpengalaman yang tidak pernah ketandusan bakat," katanya.

Presiden Persatuan Bina Badan Kedah (PBBKD), Datuk Mohd Zayad Md Ismail.
Presiden Persatuan Bina Badan Kedah (PBBKD), Datuk Mohd Zayad Md Ismail.

Zayad berkata, dalam usaha bagi mencapai matlamat itu, badan induk berkenaan baru sahaja menganjurkan Kejohanan Bina Badan peringkat negeri atau Mr Kedah, Sabtu lalu yang mendapat sambutan cukup menggalakkan.

"Selepas dua tahun tanpa sebarang pertandingan kerana pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekarang adalah masa yang sesuai memilih atlet bina badan dari Kedah untuk beraksi di Mr Malaysia 2022 iaitu Kejohanan Bina Badan Kebangsaan.

"Seramai 71 peserta menyertai pertandingan kali ini yang membabitkan 15 kategori dengan 17 daripada atlet terpilih menyertai Mr Malaysia 2022.

"Kejohanan seperti ini penting kerana kadangkala kita tidak menyedari ada atlet berbakat yang tidak mendapat perhatian. Jadi apabila kita menganjurkan kejohanan seperti ini, atlet yang terpilih nanti boleh di ketengahkan di peringkat lebih tinggi lagi.

"Apabila sering menganjurkan kejohanan seperti ini juga, ia dapat mengekalkan momentum untuk melahirkan atlet berbakat baik di peringkat negeri mahupun kebangsaan," katanya.

Kejohanan Bina Badan Mr Malaysia akan berlangsung di Alor Setar selama dua hari bermula 27 Ogos ini.

Berita Harian X