Selasa, 9 Ogos 2022 | 7:55pm
Pemenang dua pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022, Ng Joe Ee (kiri) dan pemenang gangsa, Izzah Amzan (kanan)  menunjukkan pingat yang dimenangi kepada jurulatih mereka, Yulia Ivanova di Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA, Sepang. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

Joe Ee mahu fokus pelajaran

SEPANG: Selepas cemerlang di Sukan Komanwel Birmingham 2022, atlet gimrama negara, Ng Joe Ee akan memberikan tumpuan terhadap pelajarannya apabila bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan.

Atlet berusia 17 tahun itu, berkata selepas menghabiskan masa lebih kurang setengah tahun bagi melakukan persiapan menghadapi temasya di Birmingham itu, dia kini perlu segera kembali fokus kepada pelajarannya.

Atlet gimrama Ng Joe Ee bersama dua pingat emas dimenanginya bergambar bersama Izzah Amzan yang memenangi gangsa pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama skuad gimrama negara hari ini. - BERNAMA

"Selepas ini saya akan memberikan tumpuan kepada pelajaran kerana sudah setengah tahun saya menumpukan kepada sukan ini. Masa sudah tidak banyak untuk saya kerana tahun depan akan ambil SPM dan kini adalah masanya untuk kembali fokus kepada pelajaran.

"Saya tidak meletakkan sasaran, cuma berharap mendapat keputusan yang terbaik," kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri Titiwangsa itu ketika ditemui sebaik tiba dari Birmingham di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Joe Ee mencipta sensasi apabila berjaya menyumbang dua pingat emas buat kontinjen Malaysia di Birmingham selepas mengungguli disiplin bola dan riben.

Kejayaan itu turut menyaksikan kontinjen negara mencapai sasaran enam emas yang diletakkan pada temasya kali ini.

Atlet gimrama Ng Joe Ee yang memenangi dua pingat emas (empat, kiri), Izzah Amzan (tiga, kanan) pemenang pingat gangsa dan Koi Sie Yan (dua, kiri) disambut dengan laungan kata semangat "Malaysia Boleh" sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini dari menyertai temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022. - BERNAMA

Selain dua emas daripada Joe Ee, skuad gimrama negara turut meraih satu gangsa menerusi Izzah Amzan dalam acara belantan.

Berkongsi mengenai perancangan kejohanan seterusnya, Joe Ee memberitahu dia akan memberikan fokus kepada persiapan bagi menghadapi Sukan Asia Hangzhou tahun depan.

Berita Harian X