Isnin, 8 Ogos 2022 | 4:43pm
Gandingan Aifa Azman, Rachel Arnold tewas dalam tiga set kepada gandingan England, Sarah Jane, Perry Allison Waters 11-8, 6-11 dan 9-11 pada aksi separuh akhir beregu skuasy. - Foto REUTERS
Gandingan Aifa Azman, Rachel Arnold tewas dalam tiga set kepada gandingan England, Sarah Jane, Perry Allison Waters 11-8, 6-11 dan 9-11 pada aksi separuh akhir beregu skuasy. - Foto REUTERS

Pemain skuasy negara kecewa gagal hadiah emas buat negara

BIRMINGHAM: Beregu skuasy wanita negara, Aifa Azman-Rachel Arnold mengakui kecewa tidak dapat memenuhi impian mereka melangkah ke final Sukan Komanwel 2022 di sini, sekali gus bersaing mendapatkan pingat emas buat negara.

"Memang kecewa, tapi kami sudah buat yang terbaik," kata Aifa selepas perlawanan yang berlangsung di Pusat Sukan dan Kecergasan, University of Birmingham di sini, semalam.

Pada aksi separuh akhir yang sengit itu, mereka tewas dalam tiga set kepada gandingan tuan rumah England, Sarah-Jane Perry-Allison Waters 11-8, 6-11 dan 9-11.

Bagi Aifa, ini adalah penyertaan kedua pada temasya Sukan Komanwel selepas di Gold Coast, Australia ada 2018. Dalam acara perseorangan wanita dan beregu campuran, dia berjaya sampai ke peringkat 16 terbaik.

Gandingannya bersama Rachel hanya bermula kira-kira empat minggu sebelum ke sini, susulan gandingan asal, S Sivasangari terpaksa menarik diri selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Ditanya mengenai kemungkinan tertekan pada aksi separuh akhir itu susulan peranannya sebagai pembawa Jalur Gemilang negara, Aifa berkata isu itu tidak timbul sama sekali.

"Tiada masalah, ia dua keadaan berbeza. Tapi sebagai pembawa Jalur Gemilang ia adalah satu penghormatan," katanya yang menjalankan peranan itu bersama pemenang pingat emas powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin.

Sementara itu, Rachel berharap dapat menyertai temasya Sukan Komanwel akan datang bagi menebus kekecewaannya di sini.

"Ini adalah sukan terbesar untuk kami sebab ia tidak dipertandingkan di Olimpik. Selepas ini juga saya mahu menumpukan satu kejohanan di Mesir," katanya.

Selain gandingan Aifa-Rachel, pasukan negara turut diwakili Noor Ainaa Amani Ampand-Chan Yiwen. Mereka bagaimanapun turut tersingkir di peringkat sama semalam.

Pengurus pasukan negara, S Maniam sebelum ini dilaporkan berkata skuad skuasy negara dijangka mampu membawa pulang satu pingat dari temasya di sini.

Berita Harian X