Rabu, 3 Ogos 2022 | 3:09pm
Fraidden menjelmakan emas ke-16 buat kontinjen Sukan Para ASEAN Solo 2022. Kredit: Majlis Sukan Negara
Fraidden menjelmakan emas ke-16 buat kontinjen Sukan Para ASEAN Solo 2022. Kredit: Majlis Sukan Negara

Fraidden lengkapkan sasaran 16 emas

KUALA LUMPUR: Sasaran 16 pingat emas kontinjen Malaysia di Sukan Para ASEAN Solo 2022 tercapai di Pusat Renang Jatidiri menerusi Fraidden Dawan, hari ini.

Fraidden menghadiahkan emas dalam acara 100 meter (m) kuak kupu-kupu lelaki S10 dengan catatan 1 minit 09.09 saat (s) sekali gus mengenepikan pencabar di tempat kedua dari Thailand, Phasit Phukhamkhom, 1:16.64s. Gangsa diraih atlet tuan rumah, Rahmad Tulloh yang mencatatkan masa 1:18.35s.

"Saya gembira dan berasa berbangga kerana menyumbangkan emas ke-16 buat kontinjen. Setakat ini, saya sangat berpuashati dengan pencapaian," katanya yang turut menyertai dua acara lain iaitu 400m gaya bebas S10 dan 200m rampaian individu SM10.

Dalam acara 400m gaya bebas S10 yang berlangsung Isnin lalu, Fraidden turut berjaya meraih emas dengan melakukan catatan 4:58.540s manakala perak dimenangi atlet Vietnam, Quang Gon Truong yang ketinggalan 16.030s dibelakangnya. Pingat gangsa diraih atlet Myanmar, Win Soe yang mencatatkan 5:29.300s.

Kini misi Fraidden adalah dalam acara 200m rampaian invididu bagi melengkapkan sasaran peribadinya, untuk menghadiahkan tiga emas buat kontinjen Malaysia sekali gus mempertahankan kemenangan diraihnya di Kuala Lumpur 2017.

"Esok, saya akan menyertai acara 200m rampaian individu di mana saya pernah meraih emas di Kuala Lumpur 2017. Apapun bagi saya, catatan masa di sini tak naik dan tak turun, begitu saja.

"Untuk itu, saya perlu lebih meningkatkan diri saya berbanding sebelum ini. Perlu banyakkan latihan serta pendedahan di luar negara," katanya.

Imaan aiman cemerlang di Pusat Renang jatidiri. Kredit: Majlis Sukan Negara
Imaan aiman cemerlang di Pusat Renang jatidiri. Kredit: Majlis Sukan Negara

Sementara itu, rakan seperjuangan, Muhammad Imaan Aiman Muhd Redzuan turut cemerlang apabila menghadiahkan emas dalam acara 100m kuak kupu-kupu S14 (masalah pembelajaran).

Imaan mencatat 1:00.34s untuk meraih emas sekali gus memperbaharui rekod temasya manakala atlet Indonesia, Daniel Nugroho Wijayanto memenangi perak, 1:05.16s. Gangsa dimenangi rakan senegaranya, Aldi Tri Septian yang melakukan 1:05.49s.

"Alhamdulillah, saya sudah mencuba yang terbaik untuk jurulatih, ibu bapa dan Malaysia. Saya datang ke sini untuk memperbaiki catatan rekod peribadi saya (PB), sebab ini adalah temasya pertama saya.

"Namun alhamdulillah, saya dapat dua emas dan satu perak untuk kali ini," kata Imaan yang pertama kali menyertai Sukan Para ASEAN dan kini mengalih tumpuannya untuk temasya seterusnya di Kemboja 2023.

"Insya-Allah saya akan cuba yang terbaik untuk membanggakan nama Malaysia," tambahnya.

Berita Harian X