Selasa, 2 Ogos 2022 | 8:03am
Gambar fail - Perenang negara, Phee Jinq En. - Foto BERNAMA
Gambar fail - Perenang negara, Phee Jinq En. - Foto BERNAMA

Hajat Jinq En, Bryan ke final tak kesampaian

BIRMINGHAM: Perenang negara, Phee Jinq En dan Bryan Leong gagal menyerlah apabila tersingkir pada saingan separuh akhir pada hari keempat acara renang di temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022, di sini, hari ini.

Dalam acara 100m kuak dada wanita, Jinq En gagal mara ke pusingan akhir selepas menduduki tempat ketujuh dengan catatan masa satu minit 11.42 saat (s) di Pusat Akuatik Sandwell, di sini.

Kepantasan tersebut adalah jauh daripada rekod kebangsaannya 1:08.40s yang dicipta pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, tahun lalu.

Pencapaian itu menyaksikan Jinq En menduduki tempat ke-14 keseluruhan dengan perenang Afrika Selatan, Lara van Niekerk, muncul perenang terbaik daripada 16 perenang dengan catatan masa 1:05.96s.

Ini adalah penampilan separuh akhir berturut-turut selepas layak daripada saringan acara 50m kuak dada, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Jinq En gagal mara ke final selepas menduduki tempat ketujuh pada separuh akhir pertama dengan catatan masa 32.54s.

Dalam pada itu, ia juga adalah penghujung jalan buat Bryan apabila tersingkir pada separuh akhir kedua acara 100m kuak kupu-kupu lelaki dengan masa 53.87s, sekali gus menamatkan saingan di tempat ketujuh dan ke-13 secara keseluruhan.

Perenang Australia, Matthew Temple, mengungguli acara itu dengan catatan masa 51.52s.

Jumaat lalu, Bryan mengharungi penyingkiran pusingan awal dalam acara 50m kuak kupu-kupu lelaki dengan catatan masa 24.50s untuk menduduki tempat ketujuh dalam saringan keenam.

-- BERNAMA

Berita Harian X