Isnin, 1 Ogos 2022 | 12:52am
Aksi pemain perseorangan ping pong negara, Leong Chee Feng ketika menentang lawan dari Nigeria, Omotayo dalam acara berpasukan lelaki peringkat suku akhir Sukan Komanwel 2022 di National Exhibition Centre (NEC) pada Ahad. Malaysia tewas 2-3.- Foto BERNAMA
Aksi pemain perseorangan ping pong negara, Leong Chee Feng ketika menentang lawan dari Nigeria, Omotayo dalam acara berpasukan lelaki peringkat suku akhir Sukan Komanwel 2022 di National Exhibition Centre (NEC) pada Ahad. Malaysia tewas 2-3.- Foto BERNAMA

Nigeria sekat Malaysia ke separuh akhir

BIRMINGHAM: Keghairahan pemain ping pong perseorangan negara, Choong Javen untuk mematikan lawan pada perlawanan terakhir membawa padah apabila Malaysia tewas 3-2 kepada Nigeria dalam suku akhir acara berpasukan lelaki pada Sukan Komanwel 2022, di sini, hari ini.

Javen gagal mengekalkan momentum selepas menang set pertama 11-7 sebelum Quadri Aruna bangkit untuk mencipta kemenangan 8-11, 5-11, 9-11 di Pusat Pameran Kebangsaan (NEC) di sini, sekali gus mengesahkan Nigeria slot separuh akhir.

"Memang, kami sudah mencapai sasaran layak ke suku akhir tetapi selepas menang set pertama, saya tidak dapat mengekalkan momentum sehingga membolehkan lawan bangkit semula," katanya kepada Bernama selepas perlawanan berkenaan.

Oleh itu, pemain berusia 21 tahun itu berharap dapat menebus kesilapan yang dilakukannya dalam acara perseorangan dan beregu selepas ini.

Terdahulu, Javen dan pasangannya, Wong Qi Shen membuka kempen Malaysia dengan langkah kanan untuk menyumbang mata pertama apabila bangkit selepas ketinggalan set pertama 6-11 sebelum mengalahkan Amadi Omeh-Bode Abiodun, 12-10, 12-10, 11-7.

Bagaimanapun, Nigeria menyamakan kedudukan menerusi Aruna apabila menewaskan Leong Chee Feng, 11-9, 6-11, 11-5, 11-5.

Malaysia kemudian mendahului saingan apabila Qi Shen mengalahkan Abiodun, 12-10, 14-12, 11-5 tetapi Olajide Omotayo memberi talian hayat kepada Nigeria dengan mengecewakan Chee Feng, 11-8, 9-11, 11-7, 11-6.

Dalam pada itu, skuad wanita negara akan berdepan Wales dalam saingan separuh akhir acara berpasukan lewat hari ini.

- BERNAMA

Berita Harian X