Selasa, 19 Julai 2022 | 11:57am
Gambar fail - Pelumba TSG, Mohd Harrif Saleh (tiga kanan) dalam satu perlumbaan sebelum ini.
Gambar fail - Pelumba TSG, Mohd Harrif Saleh (tiga kanan) dalam satu perlumbaan sebelum ini.

Harrif positif Influenza A

KUALA LUMPUR: Pelumba profesional Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh disahkan positif virus Influenza A selepas bertanding pada dua perlumbaan kriterium di ibu negara hujung minggu lalu.

Harrif, 33, menduduki tangga keempat kedua-dua perlumbaan iaitu Kriterium Petaling Jaya pada malam Sabtu lalu dan siri kedua Junior Cycling Malaysia (JCM) di Taman Pudu Ulu, di sini pada pagi Ahad.

"Saya baru pulang dari perlumbaan kriterium di MBPJ (Majlis Bandaraya Petaling Jaya) dan JCM.

"Sebelum perlumbaan itu memang badan saya sebenarnya sudah lemah, tapi saya ingatkan demam biasa saja dan dalam keadaan demam, saya masih nak berlumba dan dapat juga habiskan perlumbaan di tangga keempat.

"Sampai di Terengganu saya terus pergi buat pemeriksaan di klinik dan saya disahkan positif virus Influenza A. Pelik sikit demam ini sekejap dia baik sekejap dia datang balik, sekarang ini memang terasa lemah badan dan lenguh-lenguh," tulisnya menerusi hantaran terbaharu di laman Instagram.

Pasukan TSG berlepas ke Turkiye malam tadi untuk menyertai beberapa perlumbaan Grand Prix di sekitar Kayseri bermula hujung minggu ini.

Pada Disember lalu, Harrif dan abangnya Mohd Zamri Saleh dijangkiti virus COVID-19 dan terpaksa melupakan perlumbaan jelajah Tour of Thailand yang dimenangi pelumba TSG dari Mongolia, Jambaljamts Sainbayar.

Bagaimanapun dia berjaya menebus kekecewaan itu apabila memenangi dua peringkat Tour of Thailand pada April lalu selain membantu TSG muncul juara keseluruhan.

Harrif juga muncul naib juara Grand Prix Justiniano di Turkiye, perlumbaan satu hari bertaraf Jelajah Eropah pada Februari lalu.

Berita Harian X