Ahad, 10 Julai 2022 | 12:26pm
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D. Shahriman. - BERNAMA
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D. Shahriman. - BERNAMA

Kontinjen Para sedia beraksi di Solo

KUALA LUMPUR: Kontinjen Malaysia sudah bersiap sedia untuk menyertai temasya Sukan Para ASEAN di Solo, Indonesia dengan hampir keseluruhan atlet dibarisi pelapis muda negara.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, kebanyakan atlet muda ini adalah daripada kalangan mereka yang menyertai Sukan Para Remaja Asia (AYPG) di Bahrain, tahun lalu - kontinjen yang meraih tiga emas, lima perak dan lima gangsa.

Megat berkata, pentas di Solo dari 30 Julai hingga 6 Ogos ini sudah pasti menjadi medan buat atlet muda ini menimba pengalaman berharga sebelum mampu mewakili negara di temasya besar seperti Sukan Paralimpik di masa akan datang.

"Di Solo, kita banyak menghantar atlet muda, pelapis kita. Kali ini peluang diberikan kepada pelapis kerana kontinjen di Solo inilah yang bakal mewakili negara di Sukan Para ASEAN di Kemboja.

"Daripada sudut persiapan, saya boleh katakan sudah terbaik dan sasaran pingat itu akan dimaklumkan sebelum kontinjen berlepas (ke Solo)," kata Megat yang turut menyatakan kontinjen dijadual berlepas ke Solo pada 25 Julai ini.

"Kita optimistik menghantar kontinjen muda kerana inilah barisan yang akan ke Kemboja tahun depan dan seterusnya Olimpik Paris 2024. Ini adalah sebahagian daripada perancangan lima tahun kita. Jadi, dalam tempoh itu, mereka akan cukup matang."

Malaysia dijadual menyertai 11 daripada 14 acara dipertandingkan, antaranya seperti memanah, olahraga, badminton, boccia, catur, goalball, powerlifting, renang, ping pong dan tenis kerusi roda.

"Daripada 11 acara, ini saya rasa berkemungkinan (pingat emas) daripada sukan badminton, renang, memanah dan juga boccia," kata Megat.

Berita Harian X