Khamis, 23 Jun 2022 | 7:02pm
Gambar fail - Legenda berbasikal negara, Datuk Ng Joo Ngan. - Foto ihsan Stadium Astro
Gambar fail - Legenda berbasikal negara, Datuk Ng Joo Ngan. - Foto ihsan Stadium Astro

Joo Ngan saran kejohanan basikal lebuh raya diperbanyakan

KUALA LUMPUR: Perkembangan sukan berbasikal di Malaysia dilihat semakin menunjukkan prestasi, namun bagi 'cabang' lebuh raya, ia harus dipertingkatkan lagi dengan penganjuran lebih banyak kejohanan di peringkat domestik.

Bagi legenda berbasikal negara, Datuk Ng Joo Ngan, dia melihat kem berbasikal trek berjaya mencapai standard diinginkan tetapi tidak buat berbasikal lebuh raya yang kurang penyertaan dan pendedahan dalam kejohanan.

Ia secara tidak langsung bakal mengehadkan kemampuan bakat dimiliki negara dalam berbasikal lebuh raya dan baginya, pelumba harus diberikan lebih banyak peluang menyertai saingan di peringat domestik mahu pun antarabangsa selain memperbanyakkan lagi kejohanan di peringkat tempatan.

"Basikal trek sudah okey dan standard mereka kekal konsisten," kata Joo Ngan. "Namun untuk lebuh raya, seperti TSG (Terengganu Cycling Team) dan Sapura (TSC)... ramai pelumba yang kuat tetapi mereka tidak cukup perlumbaan saja.

"Seperti di luar negara, satu minggu mungkin ada dalam satu atau dua perlumbaan... satu bulan kira-kira dalam lapan perlumbaan. Tidak seperti di sini, kadang-kadang dua, tiga bulan baru ada dua perlumbaan.

"Ini tidak mencukupi kerana latihan banyak tetapi tidak menyertai perlumbaan pun tidak guna juga. Jadi harus selalu menyertai perlumbaan. Sekiranya tak bersaing di peringkat luar negara, kita tidak tahu (keupayaan sebenar pelumba)."

Baru-baru ini, kem berbasikal trek berjaya mencetuskan peningkatan prestasi positif di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2022 di New Delhi, India. Antaranya menyaksikan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri meraih pingat emas dalam acara 500 meter ujian masa wanita.

Berita Harian X